Baru-baru ini, Pemimpin Tertinggi Korea Utara, Kim Jong Un, sekali lagi mencuri tumpuan dunia apabila secara terbuka menyuarakan hasrat untuk memperhebatkan pemodenan pengeluaran peluru berpandu bermula tahun hadapan. Pengumuman ini bukan sekadar retorik, sebaliknya disertai pelan konkrit termasuk pembinaan lebih banyak kilang senjata baharu bagi memenuhi “keperluan ketenteraan” yang semakin mendesak.
Dalam landskap politik antarabangsa, Korea Utara berada dalam kedudukan yang unik dan terasing. Di saat negara itu terus dihimpit sekatan ekonomi, tekanan dilomatik berterusan, serta pengawasan ketat kuasa-kuasa besar, sementara rakyatnya pula masih bergelut dengan isu asas seperti bekalan makanan.
Namun, dalam keadaan sedemikian, Pyongyang memilih laluan yang kelihatan kontradiktif. Peluru berpandu tidak dianggap beban, sebaliknya dilihat sebagai aset strategik paling berkesan untuk memastikan rejim Kim Jong Un kekal relevan di pentas global. Ia menjadi isyarat jelas bahawa mereka tidak boleh dipandang sebelah mata, meskipun terpinggir dari segi ekonomi dan diplomasi.
Pendekatan ini sudah tentunya akan menimbulkan persoalan umum iaitu mengapa Pyongyang sanggup ‘membakar’ dana negara mereka demi besi dan peluru berpandu. Adakah Kim Jong Un benar-benar bersedia untuk perang, atau sekadar mahu mempamerkan kekuatan?
Hakikatnya, di sebalik imej provokatif yang sering dipaparkan, langkah ini lebih bersifat strategi bertahan berbanding niat menyerang secara terbuka. Memperluaskan pengeluaran peluru berpandu dilihat sebagai “insurans hayat” bagi kelangsungan rejim dan pasukan tenteranya.
Dalam persekitaran keselamatan yang dianggap bermusuhan, kekuatan ketenteraan menjadi benteng utama bagi memastikan kelangsungan kuasa.
Mesej Keras ke Washington dan Seoul

Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un memeriksa pengeluaran peluru berpandu dan peluru berpandu di sebuah kilang di lokasi yang tidak didedahkan, Korea Utara. Foto: KCNA
Lonjakan industri pertahanan Korea Utara turut membawa mesej geopolitik yang jelas, khususnya kepada Amerika Syarikat dan Korea Selatan di rantau Asia Timur. Ini lebih-lebih lagi dengan melihat kaca mata Korea Utara yang menganggap latihan ketenteraan bersama kedua-dua negara bersekutu itu sebagai ancaman pencerobohan yang nyata, malah ditafsirkan sebagai “latihan untuk penaklukan”.
Berdasarkan logik ini, satu-satunya cara untuk memastikan kuasa besar tidak berani “menyentuh” kedaulatan Korea Utara adalah dengan mempamerkan keupayaan ketenteraan yang mampu menimbulkan rasa gentar.
Dengan memiliki senjata strategik, Pyongyang berusaha memaksa Amerika Syarikat melihat Korea Utara bukan sebagai sasaran yang mudah digulingkan seperti yang berlaku keppada beberapa rejim lain di seluruh dunia
Falsafah “Cegah Rintang”
Konsep pemilikan senjata strategik ini berakar pada falsafah “pencegahan perang” yang dilantunkan oleh Kim Jong Un. Falsafah ini sebenarnya bertitik tolak kepada konsep cegah rintang. Dalam lawatan Kim Jong Un ke fasiliti pertahanan utama baru-baru ini, agensi berita rasmi Korean Central News Agency memetik kenyataan beliau yang menegaskan bahawa sektor persenjataan penting bagi mereka.
“Sektor pengeluaran peluru berpandu dan peluru adalah amat penting dalam memperkukuh keupayaan pencegahan perang,” kata Kim seperti dipetik KCNA.
Dalam doktrin ketenteraan moden, pencegahan berasaskan kepercayaan bahawa kesediaan untuk berperang adalah cara paling berkesan untuk mengelakkan konflik.
Kim percaya bahawa jika musuh mengetahui gudang senjatanya penuh, keupayaan persenjataanya mampu menjangkau benua, dan kilangnya mampu beroperasi tanpa henti, maka musuh tidak akan berani memulakan konflik. Namun, strategi ini merupakan satu perjudian berisiko tinggi yang meletakkan keselamatan Semenanjung Korea ibarat telur di hujung tanduk.
Lonjakan Aktiviti yang Membimbangkan

Kim Jong-un menyeru untuk memperluas pengeluaran peluru berpandu negaranya. Foto: KCNA
Mutakhir ini, Korea Utara dilaporkan telah meningkatkan kadar ujian penembakan peluru berpandu pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini.
Setiap ujian bukan sekadar percubaan teknikal, sebaliknya satu bentuk komunikasi strategik yang dirancang rapi. Teknologi yang diuji semakin kompleks, termasuk ujian peluru berpandu anti-pesawat jarak jauh altitud tinggi di perairan Laut Jepun, yang membawa implikasi besar.
Keupayaan ini menunjukkan persediaan Pyongyang untuk menangkis serangan udara, satu domain yang selama ini dikuasai mana Amerika Syarikat. Ujian tersebut memberikan isyarat bahawa ruang udara mereka bukan lagi zon selamat bagi pesawat pengintip atau pengebom strategik musuh.
Walau bagaimanapun, setiap pelancaran turut meningkatkan risiko salah tafsir dan ketegangan serantau. Walaupun niat utama adalah pencegahan, reaksi balas yang keras daripada seteru Korea Utara boleh mencetuskan kitaran provokasi yang sukar dikawal dan berpotensi mencetuskan konflik yang tidak diingini.
Persediaan Operasi Masa Hadapan

Langkah ini juga bagi meningkatkan keupayaan ketenteraan negara itu serta mencabar Amerika Syarikat dan Korea Selatan. Foto: KCNA
Lebih membimbangkan penganalisis antarabangsa ialah arahan Kim yang kini memberi tumpuan kepada pengeluaran persenjataan secara besar-besaran dan bukannya sekadar pembangunan prototaip. Ini menandakan peralihan darpada fasa “eksperimen dan penyelidikan” kepada fasa persediaan operasi sebenar oleh negara itu.
Akhirnya, persoalan sama ada “adakah Kim Jong Un mahu perang” mungkin bukan isu utama. Lebih relevan jika perkara ini dilihat bagaimana beliau berusaha mengelakkan perang dengan caranya sendiri.
Bagi Kim, peluru berpandu adalah jaminan kelangsungan kuasa. Selagi ketegangan dengan Amerika Syarikat dan Korea Selatan tidak reda, kilang-kilang senjata di Pyongyang dijangka terus beroperasi. Situasi ini sudah tentu mengukuhkan lagi tembok pemisah antara Korea Utara dan dunia luar. -airtimes.my
#Airtimes #PeluruBerpandu #Geopolitik #KoreaUtara #KoreaSelatan #AmerikaSyarikat
