WASHINGTON, 13 APR – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran bahawa NATO bakal berdepan “pemeriksaan yang sangat serius” susulan kegagalan pakatan itu membantu Washington dalam konflik dengan Iran.
“Saya sangat kecewa dengan NATO. Mereka tidak berada di sana untuk kami. Kami membayar trilion dolar untuk NATO, dan mereka tidak berada di sana untuk kami,” katanya.
Beliau menyuarakan kekecewaan tersebut kepada media selepas tiba di Pangkalan Bersama Andrews, Maryland, pada Ahad.
Trump menegaskan NATO tidak memainkan peranan sewajarnya ketika Amerika Syarikat memerlukan sokongan. Menurutnya, Washington telah membelanjakan jumlah besar untuk menyokong pakatan itu selama ini.
Beliau turut mempersoalkan tindakan NATO yang hanya menunjukkan sokongan selepas keadaan semakin reda. Trump menyifatkan kehadiran itu tidak lagi relevan kerana ancaman utama telah berkurangan.
“Ingat apa yang saya katakan. NATO tidak berada di sana. Sekarang mereka mahu muncul, tetapi tiada ancaman sebenar lagi,” katanya lagi.
Dalam masa sama, Trump mempersoalkan tujuan asal pakatan tersebut. Beliau berkata Amerika Syarikat selama ini menanggung kos besar bagi membantu sekutu mengimbangi ancaman Rusia.
“Saya telah lama menganggap ia agak tidak masuk akal,” tambahnya.
Amaran terbaharu ini dilihat mencerminkan pendirian kritikal Trump terhadap NATO sejak sekian lama. Kenyataan itu juga berpotensi mencetuskan semula perdebatan mengenai komitmen Amerika Syarikat terhadap pakatan keselamatan transatlantik tersebut. – airtimes.my
