Home Diskusi2027 bakal jadi tahun penentu antara China dan Taiwan?

2027 bakal jadi tahun penentu antara China dan Taiwan?

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Dalam percaturan geopolitik dan ketenteraan antarabangsa, tarikh jarang dipilih secara rawak tanpa sebarang signifikan strategik. Jabatan Peperangan Amerika Syarikat (DoD) baru-baru ini telah menerbitkan laporan tahunan terbarunya yang bertajuk “Military and Security Developments Involving the People’s Republic of China 2025”.

Dalam laporan itu, Pentagon menyatakan terdapat satu tahun khusus yang akan menjadi tumpuan utama geopolitik global, iaitu tahun 2027.

Bagi masyarakat umum, angka ini mungkin kelihatan sekadar satu lagi tarikh dalam kalendar masa hadapan. Namun begitu bagi Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China dan kepimpinan Presiden Xi Jinping, tahun 2027 merupakan garisan penamat bagi satu perlumbaan maraton pemodenan kekuatan ketenteraan yang kritikal.

Presiden China, Xi Jinping./Foto: Ministry of National Defense of the People’s Republic of China

Laporan tersebut mendedahkan bahawa Beijing bukan sekadar memasang impian, sebaliknya sedang berusaha keras memastikan angkatan tenteranya memiliki keupayaan penuh untuk berperang dan memenangi konflik menentang Taiwan. Pada masa yang sama, kekuatan PLA juga dibentuk untuk menangkis sebarang potensi campur tangan tentera Amerika Syarikat dalam tempoh kurang dua tahun dari sekarang.

Sudah tentu laporan sebegini akan menumbulkan salah faham dalam kalangan umum bahawa China pasti akan melancarkan serangan fizikal pada tahun 2027. Hakikatnya, laporan ini memperjelaskan bahawa tarikh tersebut adalah sasaran keupayaan operasi, bukannya tarikh muktamad pencerobohan.

China telah menetapkan matlamat pemodenan tenteranya menjelang 2027 untuk mencapai apa yang diistilahkan sebagai “kemenangan strategik yang tegas” ke atas Taiwan. Dalam bahasa yang lebih mudah difahami, Beijing mahu tenteranya memiliki keupayaan mutlak untuk menakluk Taiwan secara paksa sekiranya usaha penyatuan secara aman menemui jalan buntu, dan mereka mahu keupayaan tersebut siap sepenuhnya menjelang akhir tahun 2027.

Kenderaan tempur infantri berperisai amfibia (IFV) sebuah briged tentera di bawah Komando Teater Timur PLA membentuk formasi pertempuran dalam gelombang semasa latihan tempur maritim pada 30 Jun 2022./ Foto:China Military

Ini bukanlah retorik kosong kerana PLA sedang giat memperhalusi pelbagai opsyen ketenteraan untuk memaksa penyatuan, termasuk senario paling berbahaya seperti pencerobohan amfibia berskala besar, serangan bertubi-tubi menggunakan peluru berpandu, dan pelaksanaan sekatan maritim untuk mengepung pulau tersebut daripada bantuan luar.

Bahagian yang paling kritikal untuk difahami dalam laporan ini ialah pengakuan tersirat China bahawa sebarang konflik di Taiwan tidak mungkin berlaku secara satu lawan satu semata-mata. Beijing menyedari sepenuhnya bahawa sebarang serangan ke atas Taiwan berkemungkinan besar akan menarik campur tangan Amerika Syarikat dan sekutunya.

Oleh hal yang demikian, sebahagian besar persiapan menjelang 2027 adalah dirancang khusus untuk menghadapi kuasa luar. Laporan DoD menyebut bahawa PLA sedang membina keupayaan yang dipanggil “imbangan strategik” atau strategic counterbalance.

Armada dwi pengangkut Tentera Laut PLA China iaitu kapal pengangkut pesawat Liaoning dan Shandong./Foto: Tentera Pembebasan Rakyat

Konsep ini bermaksud China sedang membina kekuatan nuklear dan konvensional yang cukup ampuh untuk menakutkan Amerika Syarikat, atau sekurang-kurangnya menahan tentera kuasa besar itu daripada campur tangan secara langsung. PLA merancang senario konflik Taiwan dengan penglibatan Amerika Syarikat sebagai senario yang paling menekan, dan mereka sedang giat menjalani latihan untuk situasi ini.

Laporan analisis oleh Pentagon menunjukkan bahawa keupayaan serangan jarak jauh PLA kini dianggarkan mampu menjangkau antara 1,500 hingga 2,000 batu nautika. Jarak ini sudah tentu cukup jauh untuk mengancam kapal dan pangkalan Amerika Syarikat di rantau Pasifik serta mengganggu kehadiran mereka.

Bagi masyarakat umum yang ingin melihat bukti fizikal terhadap persiapan rapi ini, kita hanya perlu meneliti siri latihan ketenteraan yang telah dijalankan sepanjang tahun 2024. PLA telah melaksanakan latihan yang dinamakan “Joint Sword-2024A” pada bulan Mei dan “Joint Sword-2024B” pada bulan Oktober.

Kawasan yang diisytiharkan PLA China untuk latihan Joint Sword-2024A, melibatkan lima kawasan di sekitar Taiwan, dan empat pulau kecil yang ditadbir Taiwan./Foto: Ministry of National Defense of the People’s Republic of China

Ini bukanlah sekadar latihan perbarisan biasa, sebaliknya ia merupakan simulasi perang sebenar yang mempraktikkan cara menyekat pelabuhan utama Taiwan, menyerang sasaran darat dan laut, serta mengepung pulau tersebut.

Malah, buat pertama kalinya, Pengawal Pantai China atau China Coast Guard (CCG) telah diintegrasikan sepenuhnya dalam latihan kepungan ini. Integrasi sebegini merupakan satu isyarat jelas bahawa Beijing bersedia menggunakan taktik separa tentera dan penguatkuasaan undang-undang maritim untuk mengugat ekonomi Taiwan serta menghakis bidang kuasa pulau tersebut.

Selain daripada pergerakan aset ketenteraan, satu lagi petunjuk yang amat membimbangkan adalah perubahan nada bahasa diplomatik yang digunakan oleh Beijing. Laporan ini mendapati bahawa dalam beberapa mesyuarat penting dan dokumen rasmi pada tahun 2024 dan 2025, frasa standard “penyatuan aman” yang sering digunakan sebelum ini telah digugurkan.

Kapal pemusnah peluru berpandu berpandu Xiamen (Hull 154) milik Tentera Laut PLA China Foto: China Military

Ketiadaan perkataan “aman” ini, apabila digabungkan dengan peningkatan mendadak aktiviti ketenteraan di sekitar Taiwan, memberi isyarat yang kuat bahawa Beijing kini semakin hilang sabar. Mereka kini dilihat lebih cenderung kepada penggunaan tekanan paksaan atau tindakan ketenteraan untuk memaksa Taiwan menyerah kalah, berbanding hanya sekadar menghalang kemerdekaan pulau tersebut seperti strategi dekad-dekad terdahulu.

Sebagai rumusan, laporan ini wajar dilihat sebagai satu amaran yang jelas kepada kestabilan rantau Asia Pasifik. Menjelang tahun 2027, dunia bakal menyaksikan kemunculan sebuah China yang memiliki keupayaan ketenteraan yang cukup ampuh untuk melaksanakan niat politiknya terhadap Taiwan.

Walaupun China turut berhadapan dengan cabaran dalaman seperti isu rasuah yang melibatkan pegawai tinggi tentera, tekad mereka untuk memodenkan senjata nuklear dan konvensional tetap berjalan lancar.

Sama ada keupayaan ini akan diterjemahkan kepada peperangan terbuka bergantung kepada banyak faktor, namun hakikatnya ialah keseimbangan kuasa di rantau ini sedang berubah dengan pantas, dan risiko konflik terbuka menjadi lebih nyata berbanding masa lalu. -airtimes.my

#China #Taiwan #AS #Pentagon #Airtimes

Related Articles

Leave a Reply