WASHINGTON, 14 APR – Amerika Syarikat (AS) menegaskan Iran perlu menyerahkan semua uranium yang diperkaya sebagai sebahagian daripada tuntutan rundingan semasa.
Menurut beliau, Washington turut menjangkakan Tehran mengambil langkah segera untuk membuka semula Selat Hormuz.
Perkara itu disuarakan oleh Naib Presiden AS, JD Vance dalam satu temu bual media.
“AS mahu Iran menyerahkan semua uranium yang diperkaya. Pada masa sama, mereka perlu memastikan Selat Hormuz dibuka semula,” katanya.
Jelasnya, kegagalan berbuat demikian akan memberi kesan besar terhadap hala tuju rundingan antara kedua-dua pihak.
“Jika tidak, ia akan mengubah secara asas rundingan yang sedang berlangsung,” kata Vance dalam temu bual bersama Fox News.
Beliau bagaimanapun, memaklumkan bahawa rundingan antara Washington dan Tehran menunjukkan perkembangan positif sejak kebelakangan ini.
Katanya, kedua-dua pihak telah mencapai beberapa kemajuan ketara dalam usaha meredakan ketegangan.
Isu program nuklear Iran serta keselamatan laluan perdagangan di Selat Hormuz kekal menjadi fokus utama dalam rundingan tersebut. Laluan itu merupakan antara laluan minyak terpenting dunia dan sebarang gangguan, berpotensi menjejaskan pasaran global.
Perkembangan terbaharu ini dilihat bakal menentukan arah hubungan AS dan Iran dalam tempoh terdekat, khususnya dalam konteks keselamatan serantau serta kestabilan ekonomi global. – airtimes.my
