KUALA LUMPUR, 7 MEI – Kementerian Luar Norway mengesahkan pihak berkuasa negara itu telah membatalkan beberapa lesen eksport melibatkan teknologi tertentu susulan pelaksanaan kawalan lebih ketat terhadap teknologi berkenaan.
Dalam maklum balas kepada Air Times, kementerian itu memaklumkan bahawa keputusan tersebut dibuat oleh pihak berkuasa Norway, namun tidak memperincikan jenis teknologi, syarikat atau kontrak yang terlibat.
“Pihak berkuasa Norway telah membuat keputusan untuk membatalkan beberapa lesen eksport berkaitan teknologi tertentu.
“Perubahan ini adalah disebabkan kawalan Norway yang lebih ketat terhadap teknologi tertentu,” menurut Kementerian Luar Norway dalam kenyataan ringkas kepada Air Times.
Maklum balas itu diberikan susulan pertanyaan Air Times berhubung sama ada pembatalan lesen eksport berkenaan mempunyai kaitan langsung dengan peraturan eksport pertahanan baharu Norway serta penubuhan Directorate of Export Control and Sanctions (DEKSA) pada Januari 2025.
Bagaimanapun, kementerian itu tidak menyatakan secara khusus sama ada keputusan tersebut merupakan kesan langsung daripada penubuhan DEKSA atau dasar khusus terhadap negara bukan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), termasuk Malaysia.
Norway hargai hubungan kukuh dengan Malaysia
Norway pada masa sama menegaskan bahawa negara itu amat menghargai hubungan kukuh dengan Malaysia dan berharap kerjasama serta dialog konstruktif dengan pihak berkuasa Malaysia dapat diteruskan.
“Norway amat menghargai hubungan kukuh dengan Malaysia, dan kami berharap kerjasama berterusan serta dialog konstruktif dengan pihak berkuasa Malaysia dapat diteruskan,” jelas kementerian itu.
Air Times turut cuba mendapatkan komen daripada DEKSA, namun belum menerima sebarang maklum balas setakat berita ini ditulis.
Isu ini timbul susulan laporan berhubung kemungkinan implikasi terhadap perolehan sistem peluru berpandu antikapal Naval Strike Missile (NSM) keluaran Kongsberg Defence & Aerospace AS bagi kapal tempur pesisir (LCS) kelas Maharaja Lela milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Sebelum ini, Kementerian Pertahanan memaklumkan pihaknya sedang meneliti perkara tersebut dan akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan Norway bagi mendapatkan penjelasan lanjut.
Peluru berpandu generasi kelima untuk LCS
NSM merupakan peluru berpandu antikapal generasi kelima keluaran Kongsberg Defence & Aerospace dari Norway yang direka untuk melaksanakan serangan permukaan-ke-permukaan terhadap sasaran maritim.
Sistem itu dipilih bagi melengkapkan LCS kelas Maharaja Lela TLDM, yang dibina berasaskan reka bentuk Gowind oleh Naval Group.
Dari segi spesifikasi, NSM mempunyai kelajuan subsonik tinggi, berat kira-kira 407 kilogram dan panjang 3.96 meter.
Berdasarkan maklumat terbuka, jarak operasi peluru berpandu ini dinyatakan melebihi 300 kilometer. Angka sekitar 300 kilometer lazimnya menjadi rujukan penting dalam kawalan eksport peluru berpandu antarabangsa, termasuk di bawah kerangka Missile Technology Control Regime (MTCR).
Menurut Kongsberg, NSM dibangunkan dengan ciri kebolehmandirian tinggi ketika menghampiri sasaran.
Ciri tersebut merangkumi penerbangan aras rendah di atas permukaan laut (sea-skimming), penggunaan penderia pasif, profil radar rendah, penerbangan mengikut bentuk muka bumi serta manuver terminal bagi menembusi sistem pertahanan udara moden.
NSM turut dilengkapi sistem pengecaman sasaran autonomi atau Autonomous Target Recognition (ATR) melalui penjejak inframerah pengimejan beresolusi tinggi.
Keupayaan ini membolehkan peluru berpandu berkenaan mengenal pasti kelas kapal serta memilih titik hentaman dengan lebih tepat terhadap sasaran maritim.
Keluarga peluru berpandu NSM
Selain varian pelancaran kapal, keluarga peluru berpandu ini turut merangkumi sistem pertahanan pesisir dan Joint Strike Missile (JSM), iaitu varian lancaran udara yang dibangunkan berasaskan teknologi NSM.
Berbanding NSM, JSM mempunyai berat kira-kira 416 kilogram, panjang 4 meter dan jarak operasi melebihi 350 kilometer.
Peluru berpandu itu direka untuk integrasi pada F-35, selain boleh ditawarkan untuk integrasi pada pesawat pejuang lain seperti F-16, F/A-18E/F dan F-15E, tertakluk kepada konfigurasi serta keperluan pelanggan. – airtimes.my
