Perjalanan Tentera Darat Malaysia (TDM) untuk memperoleh sistem meriam gerak sendiri atau Self-Propelled Howitzer (SPH) merupakan antara kisah perolehan pertahanan paling panjang dalam sejarah pemodenan ATM).
Selepas hampir tiga dekad melalui pelbagai proses penilaian, perubahan keutamaan operasi, kekangan kewangan dan kontroversi perolehan, penantian itu akhirnya berakhir apabila sistem CAESAR dipilih sebagai platform SPH baharu negara.
Hasrat TDM untuk memiliki SPH bermula sekitar tahun 1995 ketika rancangan pembangunan Rejimen Artileri Diraja (RAD) dirangka bagi melengkapkan keupayaan meriam tunda 155mm yang digunakan ketika itu.
Pada peringkat awal, TDM melihat SPH sebagai komponen penting dalam doktrin peperangan masa hadapan yang menekankan mobiliti tinggi dan kuasa tembakan yang mampu bergerak bersama formasi tempur.
Keperluan tersebut muncul seiring pembangunan pasukan mekanis serta perancangan mengoperasikan rejimen kereta kebal yang memerlukan sokongan tembakan artileri bergerak.

Berbeza dengan meriam tunda yang memerlukan masa lebih lama untuk dipasang dan dipindahkan, SPH membolehkan unit artileri melaksanakan konsep ‘shoot and scoot’ bagi mengurangkan risiko dikesan serta diserang balas musuh.
Pada penghujung dekad 1990-an, syarikat pertahanan Perancis, GIAT Industries yang kini dikenali sebagai KNDS/Nexter, menjadi antara pihak terawal mempromosikan sistem CAESAR kepada Malaysia.
Ketika itu, CAESAR masih merupakan sistem yang relatif baharu dan belum digunakan secara meluas seperti hari ini.
Dalam siri ujian awal yang dijalankan di kem Asahan dan Gemas, Negeri Sembilan, TDM telah menilai prestasi sistem tersebut melalui ujian tembakan langsung.
Peristiwa itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila bekas Menteri Pertahanan, Tan Sri Abang Abu Bakar Abang Mustapha menjadi menteri pertama di dunia melepaskan tembakan menggunakan sistem CAESAR.
Walaupun CAESAR menunjukkan prestasi memberangsangkan, faktor kewangan dan keutamaan perolehan lain menyebabkan rancangan tersebut tidak diteruskan pada ketika itu.
Sebaliknya, TDM memberi tumpuan kepada perolehan sistem artileri tunda yang lebih mendesak.
Pada tahun 2000, TDM membeli meriam G5 Mk III 155mm buatan Afrika Selatan yang sehingga kini kekal sebagai sistem artileri jarak jauh paling moden dalam inventori RAD.
Namun, jumlah aset yang terhad menyebabkan keupayaan tembakan strategik negara masih memerlukan penambahan pada masa hadapan.
Sepanjang tempoh lebih dua dekad berikutnya, pelbagai sistem SPH dari seluruh dunia mencuba nasib untuk menembusi pasaran Malaysia.
Antaranya ialah Denel G6 dari Afrika Selatan dan K9 Thunder dari Korea Selatan yang menggunakan casis berantai.

Perbincangan pada dekad ini pula tertumpu pada isu sama ada memilih SPH jenis beroda atau kenderaan berantai.
Kedua-dua sistem itu pernah melalui penilaian awal, namun perubahan keperluan operasi TDM akhirnya mengubah haluan kepada platform beroda yang lebih sesuai dengan keadaan geografi dan rangkaian jalan raya negara.
Sistem beroda juga menawarkan kos operasi serta penyelenggaraan yang lebih rendah berbanding platform berantai.
Pada satu tempoh, perolehan SPH seolah-olah hilang dalam radar TDM dan ini mengecewakan pihak RAD.
Peluang memiliki SPH bagaimana pun hampir menjadi kenyataan apabila pada 2018 Malaysia mempertimbangkan alternatif mendapatkan 20 meriam terpakai M109A5 dari Amerika Syarikat.
Cadangan itu dilihat sebagai penyelesaian lebih murah untuk mempercepatkan pemilikan SPH, namun rancangan tersebut dibatalkan secara rasmi pada tahun 2019.
Persaingan SPH kembali disebut apabila kerajaan pada 2022 mengeluarkan LOI untuk membeli sistem SPH Yavuz buatan Turkiye menelan kos kira-kira RM854 juta meliputi pembelian kelengkapan serta pembinaan fasiliti yang berkaitan.
Pengumuman luar jangkaan ini mengejutkan banyak pihak, apatah lagi ia diketahui hanya setelah salinan surat kelulusan tersebut disebarkan dalam talian.
Bagaimana pun, Kementerian Kewangan pada 16 Januari 2023 telah memutuskan bahawa cadangan perolehan SPH secara rundingan terus dibatalkan.
Perkembangan tersebut sekali lagi memanjangkan penantian RAD yang sudah menunggu lebih 20 tahun untuk memiliki SPH.
Namun di sebalik kelewatan itu, TDM sebenarnya terus melaksanakan proses penilaian yang menyeluruh bagi memastikan sistem dipilih benar-benar memenuhi keperluan operasi jangka panjang.
Pendekatan berhati-hati ini penting memandangkan SPH bukan sekadar platform meriam, tetapi sebahagian daripada ekosistem peperangan moden yang melibatkan sistem kawalan tembakan, logistik, komunikasi dan integrasi medan tempur.

Pada November tahun lalu, kerajaan akhirnya meluluskan rancangan pembelian meriam SPH baharu bagi memperkukuh keupayaan artileri negara tapi tidak menyebut model yang dipilih.
Pengumuman itu secara tidak langsung menamatkan episod panjang pencarian sistem yang sesuai untuk TDM.
Difahamkan sekurang-kurangnya enam model SPH telah melalui proses penilaian dan ujian sebelum keputusan muktamad dibuat.
Pemilihan CAESAR dilihat mempunyai justifikasi yang kukuh.
Selain memiliki rekod operasi yang luas di pelbagai negara, sistem tersebut telah membuktikan keberkesanannya dalam konflik sebenar termasuk peperangan di Ukraine.
Keupayaan mobiliti tinggi, masa persediaan yang singkat dan ketepatan tembakan menjadi antara faktor utama yang meningkatkan reputasi sistem itu di peringkat antarabangsa.
Bagi TDM, faktor mobiliti turut memainkan peranan penting. CAESAR beroperasi menggunakan trak beroda yang lebih sesuai dengan bentuk muka bumi Malaysia serta memudahkan pergerakan strategik antara kawasan operasi.
Saiznya yang lebih kecil berbanding sesetengah SPH lain juga memberikan kelebihan dari aspek mobiliti dan penyamaran.
Menariknya, pemilihan CAESAR turut membawa perjalanan ini kembali ke titik permulaan.
Sistem yang diperkenalkan kepada Malaysia sejak akhir 1990-an akhirnya menjadi pilihan selepas hampir tiga dekad menunggu dan melalui pelbagai fasa pertimbangan.
Perolehan tersebut bukan sekadar pembelian aset baharu, tetapi simbol transformasi keupayaan artileri negara.
Dengan kehadiran SPH, TDM bakal memiliki keupayaan tembakan yang lebih pantas, lebih fleksibel dan lebih berupaya menyokong operasi gabungan dalam persekitaran peperangan moden.
Selepas hampir 30 tahun pencarian, kisah SPH TDM akhirnya memasuki bab baharu.
CAESAR bukan sekadar meriam, tetapi lambang kepada penantian panjang yang akhirnya membuahkan hasil serta membuka era baharu pemodenan kuasa tembakan TDM. -airtimes.my
