IPOH, 4 JUN – Kawasan kampus Politeknik Ungku Omar (PUO) sekelip mata berubah umpama apabila hampir 1,000 ‘tentera’ berpangkalan di situ.
Bukan tentera biasa, sebaliknya mereka adalah warga kampus yang terdiri daripada 800 pelajar dan 40 pensyarah politeknik seluruh negara yang juga Askar Wataniah.
Mereka hadir bagi latihan kem tahunan Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) Siri 17 Tahun 2026.
Turut sama kira-kira 100 pegasus dan anggota tentera yang sebahagian besarnya adalah jurulatih.
MALPTAAC merupakan latihan tahunan ketenteraan yang menghimpunkan anggota Askar Wataniah dalam kalangan pelajar serta pensyarah politeknik seluruh Malaysia.
Latihan selama dua minggu itu bermula 1 Jun.
Penganjuran kali ini membawa makna apabila PUO menjadi tuan rumah bagi penganjuran pertama MALPTAAC pada tahun 1999.
Selepas 25 tahun, kampus bersejarah itu sekali lagi menjadi medan latihan bagi membentuk generasi pelapis pertahanan Askar Wataniah politeknik.
Ia kerjasama strategik antara Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Bahagian Pasukan Simpanan Tentera Darat dan Rejimen 503 Askar Wataniah.
Selain latihan dan pertandingan bercorak ketenteraan, para peserta juga akan aktiviti kepimpinan bertujuan meningkatkan ketahanan mental dan fizikal.
Selain itu, program jiwa murni turut dilaksanakan bagi memupuk hubungan erat antara warga tentera dan masyarakat setempat menerusi aktiviti khidmat komuniti.
Sementara itu dalam kenyataannya, Ketua Pengarah JPPKK, Dr. Haji Shamsuri Abdullah berkata, MALPTAAC merupakan platform penting dalam usaha membangunkan modal insan.
Katanya, MALPTAAC melahirkan graduan TVET yang bukan sahaja kompeten dari aspek teknikal dan profesional, malah mempunyai jati diri yang kukuh, berdisiplin serta berupaya memimpin.
“Pembangunan modal insan masa depan memerlukan keseimbangan antara kemahiran teknikal, nilai insaniah dan semangat cintakan negara.
“MALPTAAC menjadi platform terbaik untuk membentuk mahasiswa yang holistik, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara,” katanya.
Menurut Pengarah PUO, Dr. Hajah Salmi Che’ Meh, penganjuran MALPTAAC selaras dengan aspirasi PUO dalam memperkukuh pembangunan pelajar TVET yang holistik dan berkarakter tinggi.
MALPTAAC turut menjadi platform yang menyatukan pelajar daripada pelbagai politeknik di seluruh Malaysia dan kesukarelawanan dalam kalangan generasi muda.
Penganjuran MALPTAAC Siri 17 Tahun 2026 membuktikan komitmen berterusan Politeknik Malaysia dan ATM dalam memperkasa pembangunan modal insan negara.-airtimes.my
