Home Pertahanan dan Keselamatan Jika Negara Nobel Keamanan pun mungkir janji, siapa lagi boleh dipercayai? – Khaled

Jika Negara Nobel Keamanan pun mungkir janji, siapa lagi boleh dipercayai? – Khaled

A+A-
Reset

SINGAPURA, 31 Mei – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempersoalkan kredibiliti komitmen strategik antarabangsa susulan keputusan Norway membatalkan eksport sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) kepada Malaysia.

 

Berucap pada Dialog Shangri-La 2026 di Singapura, beliau berkata, tindakan Norway bukan sekadar pertikaian kontrak dua hala tetapi menimbulkan persoalan lebih besar mengenai integriti perjanjian antarabangsa.

 

Menurut beliau, keputusan itu amat mengecewakan kerana Norway sering dilihat sebagai penyokong kuat sistem antarabangsa berteraskan peraturan.

 

“Malaysia amat kesal dengan keputusan Norway membatalkan eksport sistem NSM yang untuk Malaysia.

 

“Tindakan Norway telah mencetuskan lebih daripada sekadar pertikaian kontrak dua hala. Ia menimbulkan persoalan yang sangat membimbangkan sama ada perjanjian antarabangsa dan perkongsian strategik masih boleh dipercayai,” katanya.

 

Tegas Menteri Pertahanan, jika sebuah negara yang terkenal dengan penganugerahan Hadiah Nobel Keamanan boleh mengabaikan komitmen tanpa akibat, maka hubungan antarabangsa berisiko ditentukan oleh kehendak dan pertimbangan sepihak.

 

Keadaan tersebut disifatkan sebagai perkembangan berbahaya yang boleh menjejaskan kestabilan sistem antarabangsa.

 

Mohamed Khaled turut mempersoalkan sikap berdiam diri banyak pihak terhadap keputusan unilateral Norway itu.

 

Menurutnya, negara membangun lazimnya berdepan tekanan dan kritikan apabila melanggar perjanjian, namun reaksi berbeza diberikan apabila tindakan sama dilakukan oleh negara yang lebih berpengaruh.

 

“Sikap berdiam diri banyak pihak berhubung keputusan unilateral Norway amat mendedahkan keadaan sebenar,

 

“Tiada kebimbangan serius dibangkitkan mengenai integriti kontrak atau akauntabiliti. Sikap berdiam diri yang begitu ketara ini menghantar mesej berbahaya bahawa sesetengah negara seolah-olah terlepas daripada penelitian,” katanya.

 

Beliau berkata, keadaan itu mewujudkan persepsi bahawa sesetengah negara terlepas daripada penelitian dan akauntabiliti.

 

Katanya, hipokrasi sedemikian boleh merosakkan legitimasi sistem antarabangsa berteraskan peraturan.

 

Isu NSM sebelum ini tercetus selepas Kementerian Pertahanan mengesahkan pembatalan kontrak pembekalan peluru berpandu tersebut oleh Norway.

 

Sistem NSM dirancang untuk melengkapkan persenjataan lima kapal LCS TLDM melibatkan nilai melebihi RM600 juta.

 

Malaysia juga sedang meneliti tindakan tuntutan terhadap syarikat Norway susulan kegagalan pembekalan berkenaan.

 

Kerajaan Malaysia sebelum ini telah membuat pembayaran sehingga 95 peratus daripada nilai keseluruhan kontrak tersebut.

 

Mohamed Khaled berkata, kegagalan pembekalan NSM memberi kesan langsung kepada keupayaan tempur kapal yang bakal disiapkan.

 

Beliau menjelaskan sistem gantian tidak mudah diperoleh kerana perlu disepadukan dengan sistem komunikasi, elektrik dan sistem tempur sedia ada kapal.

 

Dalam masa sama, beliau mengingatkan bahawa Asia Tenggara kini berdepan tekanan geopolitik yang semakin meningkat akibat persaingan kuasa besar.

 

Justeru, beliau menegaskan ASEAN perlu terus mempertahankan prinsip dialog, konsensus dan saling menghormati bagi memastikan kestabilan serantau terpelihara.

 

Mohamed Khaled turut menyeru kuasa pertengahan dunia bekerjasama mempertahankan kredibiliti sistem antarabangsa serta memastikan undang-undang dan komitmen antarabangsa dihormati secara sama rata oleh semua negara. – airtimes.my

Leave a Reply