PORT DICKSON, 5 OKT – Keadaan cuaca yang tidak menentu bukan penghalang kepada anggota tentera untuk menjayakan Sambutan Hari Angkatan Tentera Malaysia Ke-91 (Hari ATM 91).
Ianya secara tidak langsung mempamerkan kredibiliti ATM dalam menggalas tugas utamanya dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Sambutan pada tahun ini dengan tema ‘Angkatan Masa Hadapan: Benteng Pertahanan Negara’ telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Mohammad bin Ab. Rahman di Padang Kawad Akademi Tentera Darat, Kem Segenting, Port Dickson.
Demonstrasi Dinamik menjadi permulaan acara yang dipersembahkan dengan penuh aksi adrenalin dan memperlihatkan keupayaan aset yang melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM iaitu Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Pada masa yang sama, keupayaan yang ditonjolkan memperlihatkan keyakinan kepada rakyat bahawa kesiagaan ATM terhadap tugasan utamanya.
Sambutan ini akan menjadi platform kepada ATM untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan ATM dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Ia juga merupakan inisiatif sosial ATM dalam menyantuni orang awam yang sentiasa memberi sokongan kepada ATM.
Pada demonstrasi kali ini melibatkan 264 aset iaitu 230 aset dari TDM, 19 aset dari TLDM, dan 15 aset dari TUDM.
Selesai sahaja Demonstrasi Dinamik tamat, acara disambung dengan perbarisan Tempur Statik yang diketuai oleh Pegawai Memerintah Kolonel Razak Akob.
Perbarisan Tempur Statik ini turut menyaksikan terbang lintas empat buah pesawat helikopter ATM yang membawa bendera ATM, TDM, TLDM, dan TUDM.
Pada hari yang sama, PAT turut merasmikan Karnival Terbuka Hari ATM di Padang Ragbi, Institut Kejuteraan Tentera Darat (IJED).
Karnival ini telah bermula pada 4 Oktober 2024 sehingga 6 Oktober 2024.
Terdapat lokasi lain bagi karnival terbuka iaitu di Padang Kawad Pusat Latihan Asas Tentera Darat dan Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson.
Orang ramai dijemput hadir bagi memeriahkan karnival ini.
ATM sebagai benteng utama pertahanan Negara akan terus komited untuk menyokong misi dan wawasan Negara bagi memastikan keamanan dan kedaulatan Negara sentiasa dipelihara. – airtimes.my
#AirTimes #malaysia #pertahanan #ATM