KUALA LUMPUR, 10 MAC – Kementerian Pertahanan hari ini menyempurnakan penyerahan sumbangan Hari Raya Aidilfitri berjumlah hampir RM2 juta kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sumbangan ini didedikasikan khas buat para anggota yang terus cekal bertugas menjaga kedaulatan negara ketika umat Islam lain menyambut Syawal bersama keluarga.
Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari di Auditorium Wisma Pertahanan.
Markas ATM dalam satu kenyataan menegaskan bahawa majlis tahunan ini bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya ia manifestasi jelas kebersamaan masyarakat bersama warga ATM yang berkorban di perbatasan negara mahupun yang berkhidmat di bawah panji Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di peringkat global.
“Sebanyak 57 buah syarikat, badan korporat, dan individu telah tampil menyalurkan sumbangan wang tunai berjumlah RM1,832,800, manakala tujuh buah syarikat lagi menyumbang barangan keperluan serta juadah hari raya bernilai RM254,000.
“Dana dan barangan ini membolehkan pihak ATM menyediakan sebanyak 16,000 Beg Hari Raya Aidilfitri untuk diagihkan kepada anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang bertugas di seluruh negara dan di kawasan misi antarabangsa,” katanya.
Selain itu, barangan sumbangan tersebut telah mula dikumpulkan sejak Februari lalu dan dibungkus secara berfasa dengan penglibatan tenaga kerja warga ATM.
Terdahulu, sebanyak 400 beg terakhir telah disiapkan oleh ahli-ahli Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) sebagai simbol kasih sayang dan sokongan moral kepada anggota yang berjauhan daripada keluarga pada pagi Syawal.
“Inisiatif berterusan mencerminkan keprihatinan dan penghargaan masyarakat terhadap dedikasi anggota ATM yang berkorban demi memastikan rakyat Malaysia dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri dalam keadaan aman dan selamat.
Sokongan berterusan sektor korporat dan masyarakat ini memperkukuh hubungan erat antara rakyat dan angkatan pertahanan negara, sekali gus menegaskan bahawa pertahanan negara adalah tanggungjawab bersama. -airtimes.my
