Home SemasaLTAT umum dividen 5.35 peratus, agihan RM524.74 juta tertinggi dalam lapan tahun

LTAT umum dividen 5.35 peratus, agihan RM524.74 juta tertinggi dalam lapan tahun

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 12 Mac – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 5.35 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 dengan jumlah agihan pembayaran mencecah RM524.74 juta.

Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan, jumlah agihan pada tahun ini merupakan yang tertinggi dalam tempoh lapan tahun sejak 2018, sekaligus membuktikan kestabilan kewangan institusi tersebut meskipun berdepan cabaran ekonomi global.

Menurut beliau, prestasi memberangsangkan ini didorong oleh jumlah pendapatan pelaburan yang mencecah RM749.49 juta serta pengukuhan dana rizab yang meningkat kepada RM1.31 bilion berbanding RM1.01 bilion pada tahun sebelumnya.

“Pengumuman dividen ini bukan sahaja simbol kestabilan dan keyakinan terhadap hala tuju LTAT, tetapi ia juga bukti bahawa setiap usaha transformasi yang dijalankan bertujuan untuk memberikan impak yang langsung dan nyata kepada pencarum.

“Saya amat yakin pengumuman ini membawa berita gembira kepada semua pencarum, sekali gus memperkukuh keyakinan anggota ATM bahawa simpanan persaraan mereka berada di tangan yang selamat dan bertanggungjawab,” katanya semasa berucap di Majlis Pengumuman Dividen LTAT 2025 di Royale Chulan, hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa LTAT kini berada di fasa penting melalui pelancaran Pelan Halatuju Strategik 2026-2030 (GEMPUR30) yang akan memacu prestasi pelaburan serta menyokong Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).

Dalam majlis yang sama, Mohamed Khaled turut berkongsi perkembangan positif anak syarikat Kumpulan LTAT, khususnya Pharmaniaga Berhad yang merekodkan keuntungan lapan suku berturut-turut dan kini berada di landasan tepat untuk keluar daripada status PN17.

Selain pengumuman dividen, LTAT turut melancarkan tiga inisiatif baharu iaitu Program Affin LTAT Affiliated Debit Mastercard, Kempen Bersama Wira 2.0 serta penambahbaikan aplikasi MyWIRA 2.0 bagi memperkasakan literasi kewangan anggota ATM.

Dividen bagi tahun kewangan 2025 akan dikreditkan ke akaun pencarum pada 13 Mac 2026 dan para pencarum boleh menyemak penyata mereka melalui aplikasi MyWIRA atau laman web rasmi LTAT.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Lokman Hakim Ali serta Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Dato’ Sri Azizan Ariffin TUDM. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply