ANKARA, 12 MAC – Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan mendakwa rakyat Israel kini semakin sedar dan mula secara terbuka menyifatkan Perdana Menteri mereka, Benjamin Netanyahu sebagai malapetaka terbesar yang menimpa negara itu sejak tragedi Holocaust.
Kenyataan tersebut disuarakan susulan kedegilan pemimpin Israel yang terus memperluaskan skop peperangan dan pencerobohan di Asia Barat. Ini termasuk serangan terbaharu ke atas Lubnan serta ketegangan dengan Iran.
Menurut Erdogan, dasar peperangan yang berterusan itu bukan sahaja memusnahkan wilayah jiran, malah meranapkan jaminan keselamatan rakyat Israel sendiri.
“Bahkan rakyat Israel yang menghabiskan setiap malam di tempat perlindungan kini secara terbuka menyuarakan bahawa Netanyahu adalah malapetaka terbesar yang menimpa mereka sejak Holocaust,” tegas Erdogan dalam satu majlis berbuka puasa yang disiarkan secara langsung di akaun media sosial beliau.
Erdogan menjelaskan, kepimpinan Israel kini didakwa sedang mengheret seluruh Asia Barat ke arah kancah malapetaka yang jauh lebih besar menerusi operasi ketenteraan yang disifatkannya sebagai kempen penyembelihan terbuka.
Turkiye pada masa sama menegaskan pendirian untuk tidak berdiam diri melihat krisis kemanusiaan tersebut dan mendesak agar peperangan dihentikan segera.
Beliau turut memberi amaran bahawa percaturan geopolitik yang menjadikan nyawa manusia sebagai galang ganti demi kelangsungan kuasa politik pasti akan menerima pembalasan yang setimpal. – airtimes.my
