Home SemasaHungary lengkapkan penerimaan Gripen C tambahan, armada kini 18 pesawat

Hungary lengkapkan penerimaan Gripen C tambahan, armada kini 18 pesawat

Penghantaran dua pesawat baharu itu menyempurnakan pindaan kontrak 2024 antara FMV dan Kementerian Pertahanan Hungary, sekali gus menambah kekuatan armada Gripen C/D negara berkenaan untuk tugas pertahanan ruang udara Hungary dan NATO.

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

STOCKHOLM, 25 JUN – Hungary melengkapkan penerimaan dua pesawat pejuang Gripen C baharu, sekali gus meningkatkan jumlah armada Gripen C/D negara itu kepada 18 pesawat bagi melindungi ruang udara Hungary dan NATO.

Menurut Saab dalam kenyataan pada 24 Jun, dua pesawat Gripen C itu mendarat di Pangkalan Udara Kecskemét sehari sebelumnya, menandakan penghantaran akhir di bawah pindaan kontrak antara Swedish Defence Materiel Administration (FMV) dan Kementerian Pertahanan Hungary.

Dengan penghantaran tersebut, Hungary kini akan mengoperasikan 16 pesawat Gripen C dan dua pesawat Gripen D. Saab menyatakan penambahan dua pesawat berkenaan akan terus memperkukuh keupayaan Tentera Udara Hungary.

Naib Presiden Kanan merangkap Ketua Aeronautics Saab, Lars Tossman berkata, pihaknya berbangga dengan Tentera Udara Hungary yang telah mengoperasikan pesawat Gripen selama 20 tahun.

“Dengan kontrak sokongan dan perkhidmatan, armada Gripen Hungary akan mengekalkan tahap ketersediaan yang tinggi dan terus dinaik taraf bagi memenuhi semua keperluan misi untuk sekurang-kurangnya sedekad akan datang,” katanya.

Penyempurnaan penghantaran itu susulan kontrak yang ditandatangani Saab dengan FMV pada Januari 2024 bagi empat pesawat tambahan Gripen C untuk Hungary.

Kontrak tersebut menyusuli pindaan kepada perjanjian antara FMV dan Kerajaan Hungary yang asalnya dimeterai pada Disember 2001 berhubung 14 pesawat Gripen C/D untuk Tentera Udara Hungary.

Saab dalam kenyataan terdahulu memaklumkan pindaan kontrak bagi empat pesawat tambahan itu ditandatangani oleh Kementerian Pertahanan Hungary dan FMV pada 23 Februari 2024.

Dua pesawat pertama daripada empat pesawat tambahan tersebut diterima Hungary pada April 2026 dan akan dioperasikan oleh 101st Aviation Wing yang berpangkalan di Kecskemét.

Hungary telah mengoperasikan pesawat Gripen sejak 2006. Negara itu pada awalnya menandatangani perjanjian pajakan 14 pesawat Gripen yang terdiri daripada 12 pesawat satu tempat duduk dan dua pesawat dua tempat duduk.

Semua pesawat asal diserahkan kepada Hungary pada 2006 dan 2007, sebelum kesemua 14 pesawat itu beroperasi dengan Tentera Udara Hungary menjelang akhir 2008.

Pada 2012, Sweden dan Hungary melanjutkan kerjasama Gripen untuk tempoh 10 tahun lagi sehingga 2026, selepas kontrak semasa ketika itu dijadual tamat pada 2016.

Menurut Saab, pesawat Gripen Hungary berperanan dalam perlindungan dan pertahanan ruang udara negara itu. Sejak 2014, pesawat Gripen Tentera Udara Hungary turut bertanggungjawab dalam perlindungan ruang udara Slovenia.

Tentera Udara Hungary juga pernah mengerahkan pesawat Gripen bagi misi NATO Baltic Air Policing pada 2015 dan 2019, selain menyertai latihan antarabangsa seperti Lion Effort dan Tiger Meet.

Selain penambahan pesawat, Saab sebelum ini memaklumkan syarikat itu mempunyai kontrak sokongan dengan FMV bagi pesawat Gripen Hungary dan bersedia menyediakan naik taraf serta sokongan tambahan kepada pesawat berkenaan selepas 2035.

Saab dan Kementerian Pertahanan Hungary turut menandatangani memorandum persefahaman berkaitan pembangunan bidang industri berteknologi tinggi serta keupayaan pesawat pejuang, termasuk sokongan bagi penubuhan Centre of Excellence untuk teknologi realiti maya di Hungary. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply