KUALA LUMPUR, 25 Jun – Pertahanan negara tidak lagi boleh dilihat sebagai tanggungjawab Kementerian Pertahanan semata-mata, sebaliknya perlu menjadi agenda nasional yang melibatkan seluruh kerajaan dan masyarakat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara itu diterjemahkan melalui Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) 2026-2030 yang dilancarkan bersama Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030.
“Buat pertama kalinya, Pelan Strategik MINDEF telah dijenamakan semula sebagai Pelan Strategik Pertahanan Negara.
“Ini adalah satu anjakan paradigma yang melambangkan bahawa pertahanan bukan lagi agenda Kementerian Pertahanan sahaja,” katanya.
Beliau berkata, PSPN 2026-2030 akan memacu pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WOGOS) dalam memperkukuh pertahanan serta keselamatan negara.
Menurutnya, pendekatan itu penting bagi memastikan kesiapsiagaan pertahanan tidak hanya bergantung kepada aset dan keupayaan ketenteraan, tetapi turut disokong oleh kesedaran rakyat, agensi kerajaan, industri serta komuniti strategik.
“Kita akan membudayakan pendekatan Whole-of-Government dan Whole-of-Society (WOGOS) dalam pertahanan dan keselamatan negara,” ujarnya.
PSPN 2026-2030 menggariskan tujuh teras strategik, 29 strategi dan 103 inisiatif bagi memperkukuh ekosistem pertahanan negara secara menyeluruh.
Pelaksanaan pelan itu turut disokong RTKP 2026-2030 yang memberi tumpuan kepada pembangunan kapasiti pertahanan bagi memastikan hala tuju strategik PSPN dapat dicapai secara tersusun.-airtimes.my
