Home Pertahanan dan KeselamatanKonflik Asia Barat adalah satu amaran jelas kepada Malaysia – Khaled Nordin

Konflik Asia Barat adalah satu amaran jelas kepada Malaysia – Khaled Nordin

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 12 MAC – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan pergolakan geopolitik di Timur Tengah ketika ini sebagai satu amaran jelas kepada Malaysia untuk sentiasa bersiap sedia berdepan sebarang kemungkinan ancaman.

Beliau menegaskan bahawa perkembangan konflik yang sedang memuncak di rantau berkenaan perlu dijadikan iktibar bagi mengukuhkan lagi strategi pertahanan negara secara menyeluruh.

“Apa yang berlaku pada hari ini satu keadaan yang memberi amaran kepada kita semua termasuklah di Malaysia supaya kita sentiasa dalam keadaan bersiap sedia berhadapan dengan segala kemungkinan.

“Kita perlu kukuhkan dan kita perlu lebih strategik dalam kita mendepani apa sahaja cabaran yang mungkin akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa Kementerian Pertahanan bersama pengamal media di ibu negara pada Rabu.

Menurut Khaled, tanggungjawab untuk memelihara kedaulatan serta keselamatan negara tidak seharusnya diletakkan di bahu Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata.

Sebaliknya, beliau menjelaskan bahawa pendekatan berasaskan keseluruhan kerajaan dan masyarakat amat kritikal pada masa kini bagi menggembleng peranan rakyat secara menyeluruh.

“Kita bukan sebuah negara yang besar, kita juga bukan sebuah negara yang kaya yang mempunyai segala kemampuan untuk menyediakan segala kelengkapan bagi kesiapsiagaan angkatan tentera kita.

“Kita juga tidak mungkin boleh melaksanakan tanggungjawab dengan berjaya jika rakyat tidak memberi perhatian dan sama-sama menyumbang kepada pertahanan negara,” jelasnya.

Bagi menjayakan pendekatan tersebut, beliau turut menyeru pengamal media untuk memainkan peranan sebagai platform utama dalam menyemai semangat patriotisme, mengukuhkan jati diri bangsa daripada anasir luar, serta membina solidariti rakyat bagi menentang propaganda asing. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply