KUALA LUMPUR, 4 MAC – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kekal komited memperkukuh pertahanan pertahanan di Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE) menerusi atur gerak seramai 1,829 anggota bagi meningkatkan kesiapsiagaan serta keupayaan aset di zon tersebut.
Menteri Pertahanan, Dato Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah proaktif ini diambil bagi memastikan kedaulatan serta keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang bentuk ancaman.
“Pelaksanaan Operasi PASIR kini merangkumi kawalan rapi di 21 buah pulau dan 19 pos daratan. Kawalan keselamatan ini dilaksanakan tanpa henti sepanjang 24 jam bagi memantau pergerakan yang mencurigakan”
“Pasukan operasi turut menggunakan bot peronda, radar pesisir pantai serta pelbagai sistem pengesan udara,” jelasnya dalam jawapan lisan di Dewan Negara, semalam.
ATM sentiasa mengatur gerak pasukan bagi mengawal perairan negara secara berterusan bagi memastikan kedaulatan wilayah kekal terpelihara daripada ancaman luar.
Beliau berkata sedemikian bagi menjawab persoalan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai status penempatan aset keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Eastern Sabah Security Zone (ESSZONE).
Selain itu, rondaan operasi juga dilaksanakan secara berterusan oleh kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Bagi menyokong usaha ini, Tentera Darat Malaysia menempatkan aset strategik di kawasan Divisyen Kelima Infantri Malaysia.
Khaled turut menyatakan bahawa ATM telah menempatkan sebanyak dua buah pesawat helikopter pemerhati ringan (Light Observation Helicopter) dan 14 kenderaan perisai AV8 GEMPITA di Sandakan. Pada masa sama lapan kenderaan perisai tempur infantri (Malaysian Infantry Fighting Vehicle) ditempatkan di Lahad Datu.
“Kesemua aset ini berperanan penting dalam meningkatkan keupayaan Intelligence, Surveillance, and Reconnaissance (ISR). Ia juga meningkatkan mobiliti pasukan serta kecekapan tindak balas terhadap sebarang ancaman keselamatan,” kata Khaled.
Penempatan aset baharu ini diharap dapat memperkukuhkan lagi kerjasama antara agensi keselamatan di bawah ESSCOM. Sinergi bersepadu ini amat penting bagi mencegah sebarang bentuk jenayah rentas sempadan secara berkesan. – airtimes.my
