KUALA LUMPUR, 10 FEB – Malaysia, sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun ini, komited memperkukuh kerjasama keselamatan serantau demi menjamin kestabilan dan kesejahteraan rantau ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memainkan peranan utama dalam Kluster Keselamatan ASEAN dengan memberi tumpuan kepada 10 agenda utama.
Agenda berkenaan turut akan dibincangkan di pelbagai peringkat mesyuarat, termasuk Mesyuarat Menteri-Menteri Keselamatan ASEAN yang dijadualkan berlangsung di Melaka pada September 2025.
“Dalam tempoh ini, kita akan memberi tumpuan kepada 10 agenda utama, yang menjadi panduan dalam semua mesyuarat peringkat pegawai, pegawai kanan dan juga peringkat kementerian. Ia didahului oleh mesyuarat pegawai yang telah pun bermula,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, antara fokus utama KDN dalam kluster keselamatan ASEAN termasuklah usaha membanteras jenayah rentas sempadan, iaitu perkongsian maklumat risikan (intelligence sharing), peningkatan kapasiti (capacity building) serta operasi bersama antara negara anggota (joint operation).
Manakala bagi jenayah siber, khususnya penipuan atas talian yang semakin berleluasa, akan dijadikan agenda utama dalam perbincangan keselamatan ASEAN bagi memastikan langkah pencegahan yang lebih berkesan dapat diambil.
“ASEAN mengakui bahawa mana-mana negara anggota tidak mampu menyelesaikan isu jenayah rentas sempadan secara bersendirian. Justeru, kerjasama serantau amat penting,” katanya dalam sidang media sempena Perhimpunan Bulanan KDN, hari ini. -airtimes.my
#KDN #Malaysia #ASEAN #Keselamatan #SaifuddinNasution #Pertahanan