Home Pertahanan dan Keselamatan PAT Ke-24 Gempur ‘Little Napoleon’, Wajibkan Isytihar Harta Semua Peringkat Pemerintahan

PAT Ke-24 Gempur ‘Little Napoleon’, Wajibkan Isytihar Harta Semua Peringkat Pemerintahan

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 16 FEB – Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman hari ini mengumumkan langkah drastik bagi merombak sistem tatakelola Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Perkara tersebut dinyatakan oleh beliau semasa menyampaikan Perintah Ulung Panglima Angaktan Tentera ke-24 di Kem Perdana, Sungai Besi, hari ini.

Antara yang menarik perhatian adalah ketetapan baharu yang mengehadkan tempoh perkhidmatan bagi jawatan berisiko tinggi kepada maksimum 18 bulan. Langkah tegas ini dilihat sebagai satu tindakan untuk mencegah gejala rasuah dan pembentukan proksi peribadi dalam pengurusan tentera.

Menegaskan bahawa tiada sebarang kompromi terhadap pelanggaran amanah dan penyalahgunaan kuasa, Panglima Angkatan Tentera menyatakan tumpuan pembersihan itu disasarkan khusus kepada penempatan yang mengendalikan perolehan serta pengurusan kewangan.

“Itu adalah tempat-tempat yang berisiko tinggi. Antaranya dari segi perolehan dan sebagainya. Kita tidak mahu apabila terlalu lama, wujud rasa selesa dan mereka membina ‘Little Napoleon’ sendiri di situ.

“Apabila itu berlaku, kepentingan peribadi akan mengatasi kepentingan yang lain. Jadi sebagai perlindungan, hadnya kita berikan 18 bulan,” tegas beliau dalam sidang media selepas menyempurnakan Perbarisan Perintah Ulung PAT ke-24 di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Sungai Besi, di sini.

Panglima Angkatan Tentera (PAT) ke-24, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman menegaskan pengisytiharan harta diwajibkan secara menyeluruh./Gambar: Air Times/M Daim


Walau bagaimanapun, Malek Razak menjelaskan bahawa tempoh 18 bulan tersebut merupakan garis panduan minimum yang tertakluk kepada semak dan imbang. Tempoh itu boleh dilanjutkan sekiranya pegawai terbabit melepasi audit perkhidmatan dan diiktiraf mempunyai tahap integriti yang bersih, jujur serta amanah dalam melaksanakan tugas.

Selari dengan ketelusan kewangan, beliau turut mewajibkan pengisytiharan harta dilaksanakan secara menyeluruh. Arahan ini bukan sahaja tertumpu kepada pegawai berpangkat Jeneral, malah merangkumi Pegawai Memerintah dan pembuat keputusan utama.

“Perkara ini melibatkan semua peringkat pemerintahan dan anggota penting yang mengendalikan pengurusan kewangan dan sebagainya. Tidak ada pengecualian. Sebahagiannya mungkin tidak dikemas kini, jadi ia perlu dibuat berdasarkan kedudukan semasa pegawai terbabit,” tambah beliau.

Dalam usaha memperkukuhkan jati diri dan moral anggota, Malek turut mengumumkan penstrukturan semula carta organisasi pertahanan. Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT) kini diletakkan secara langsung di bawah pentadbiran Panglima Angkatan Tentera bagi memastikan pembinaan akhlak warga ATM dapat dipantau tanpa halangan birokrasi.

Sebelum ini, kor tersebut diletakkan di bawah seliaan Bahagian Perkhidmatan Anggota (BPA).

“Dari segi kebebasannya sebelum ini tidak secara terus dan Panglima Angkatan Tentera tidak dapat akses secara langsung kepada mereka. Jadi supaya lebih efektif, Pengarah KAGAT kini terus melapor kepada saya. Keterbukaan dan inisiatif untuk memperkukuhkan kerohanian angkatan itu menjadi lebih luas,” jelasnya.

Kesemua pembaharuan radikal ini digariskan di bawah tujuh tonggak strategik kepimpinan beliau yang dirangka khusus untuk menterjemahkan nilai teras baharu pertahanan negara iaitu Akhlak Teras, Tatakelola Tuntas dan Martabat Tempur. Perbarisan penuh tradisi hari ini melibatkan penyertaan 30 pegawai dan 730 anggota lain-lain pangkat yang mewakili ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM.

Langkah proaktif kepimpinan baharu ini membuktikan komitmen jitu ATM dalam melaksanakan Pelan Pembanterasan Rasuah ATM 2025-2029 , sekaligus memastikan ketumbukan itu terus berdiri kukuh sebagai perisai kedaulatan negara yang bersih dan dihormati rakyat. – airtimes.my

KATA KUNCI : Angkatan Tentera Malaysia (ATM)Jeneral Datuk Malek Razak SulaimanPanglima Angkatan TenteraPanglima Angkatan Tentera ke-24PAT Ke-24

Leave a Reply