KUALA LUMPUR, 6 FEB – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menjelaskan bahawa proses pelarasan pencen bagi veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Januari 2013 tidak dapat diteruskan buat masa ini disebabkan oleh faktor perundangan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, bahawa perkara ini berlaku apabila tindakan sekumpulan 50 veteran ATM memfailkan saman pemula terhadap kerajaan telah mewujudkan situasi subjudice, yang menghalang sebarang perbincangan lanjut mengenai isu tersebut di peringkat kementerian.
Beliau berkata, meskipun Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) telah meluluskan cadangan pelarasan tersebut pada September 2022, pelaksanaannya terikat dengan prosedur undang-undang yang sedang berjalan.
“Cadangan pelarasan pencen ini sebenarnya telah dipanjangkan kepada agensi pusat sejak Ogos 2022 dan ketika itu ia berada dalam fasa penelitian.”
“Bagaimanapun, susulan tindakan mahkamah tersebut, pihak kerajaan tidak dapat meneruskan perbincangan bagi menghormati proses perundangan,” katanya bagi menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor di Dewan Rakyat, semalam.
Menyentuh mengenai perkembangan terbaharu kes tersebut, beliau memaklumkan bahawa Mahkamah Persekutuan pada 20 Januari 2026 telah menolak permohonan rayuan kumpulan 50 veteran terbabit berkaitan keputusan pelarasan pencen berkenaan.
Isu jurang pencen antara veteran lama dan baharu sering menjadi topik hangat dalam komuniti pertahanan, memandangkan terdapat perbezaan ketara dalam jumlah penerimaan pencen bagi mereka yang bersara sebelum dan selepas tahun 2013.
Keputusan mahkamah terbaharu ini dijangka akan membuka ruang kembali kepada Kementerian Pertahanan dan agensi pusat untuk memperincikan langkah seterusnya dalam menangani kebajikan pesara tentera secara menyeluruh. – airtimes.my














