Disebalik pembukaan tirai tahun 2026 yang disulami dengan menghitung detik permulaan tahun baharu dan pertunjukan bunga api, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF) menghadapi cabaran yang tersendiri. Cabaran-cabaran yang dihadapi bukanlah sesuatu yang mudah tetapi ianya melibatkan kedaulatan dan pertahanan tanah air.
Bagi rakyat yang prihatin dengan iklim dunia pertahanan pertahanan negara, tarikh 1 Januari 2026 semalam bukan sekadar permulaan tahun baharu tetapi ianya juga dibadai dengan situasi yang agak kritikal kepada negara.
Tiga badai yang dimaksudkan adalah tragedi helikopter terhempas, kehadiran kapal agensi kerajaan asing diperairan negara dan juga krisis kepimpinan ATM. Ketiga-tiga badai ini bukanlah satu perkara biasa tetapi hakikatnya ia adalah isu yang perlu ditangani dan mendapat perhatian segera.

Insiden pendaratan cemas helikopter Super Lynx pada malam ambang Tahun Baru 2026 merupakan antara titik permulaan yang mencabar buat ATM dan MINDEF./Gambar: Media sosial
Tragedi Klebang: Amaran Aset Usang?
Semasa rakyat menyambut ambang tahun baru, negara dikejutkan dengan insiden helikopter Super Lynx milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mendarat cemas di perairan Klebang, Melaka pada malam 31 Disember lalu.
Walaupun kita bersyukur tiada kehilangan nyawa, insiden ini kembali membuka “kotak pandora” mengenai aset ATM. Helikopter Super Lynx Mk300 telah lebih dua dekad menabur jasa kepada tanah air. Nahas di Klebang bukan sekadar kemalangan terpencil, ia adalah manifestasi risiko yang dihadapi oleh wira negara apabila mengoperasikan jentera yang semakin dimamah usia.

Walaupun status sama ada helikopter terbabit akan 'write-off' atau sebaliknya masih belum diketahui, hakikatnya, jumlah kekuatan udara TLDM semakin berkurang./Gambar: Media sosial
Sebelum insiden berlaku, TLDM mengoperasikan 6 buah helikopter Super Lynx Mk300. Namun, melihat laporan Utusan Malaysia pada 27 April 2023, jumlah diatas kertas adalah berbeza dengan realiti semasa.
Mengimbau wawancara khas akhbar tempatan bersama Panglima Tentera Laut ketika itu, Laksamana Datuk Abdul Rahman Ayob, menyatakan 4 daripada 6 buah helikopter Super Lynx Mk300 digunakan untuk operasi peranan maritim. Sementara itu, 2 buah lagi diletakkan di bawah Penyimpanan Jangka Panjang (LTS) disebabkan tiada sokongan keperluan lojistik pesawat.
Walaupun status helikopter yang terhempas di Pantai Klebang masih tidak disahkan secara rasmi akan ’write-off’ atau tidak, realiti kekuatan udara bagi TLDM semakin mengecil tak boleh disangkal lagi.

Semasa penggulungan di Dewan Negara pada Disember lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan komitmen kerajaan dan MINDEF dalam menangani isu kekangan aset dalam ATM./Gambar: FB Khaled Nordin
Aset usang dari sudut Kementerian Pertahanan
Isu aset usang bukanlah sesuatu yang baharu dan ianya boleh dikatakan antara perkara-perkara yang kerap berbangkit apabila keupayaan serta kekuatan ATM pada setiap tahun. Di medan media sosial, isu keusangan sering diutarakan terutamanya apabila berlaku sesuatu insiden atau kemalangan melibatkan sesuatu aset.
Walaupun ada yang menganggap isu ini dipandang ‘sepi’ oleh pihak berwajib, semasa sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2026 peringkat Kementerian Pertahanan di Dewan Negara pada 15 Disember lalu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan kerajaan mempunyai perancangan yang jelas untuk isu ini.
“Berhubung isu aset usang pula, kerajaan memang mempunyai perancangan yang jelas untuk memodenkan aset pertahanan negara yang akan dilaksanakan secara berperingkat, tersusun dan realistik bagi setiap perkhidmatan ATM,” kata Khaled.
Menurut beliau, modenisasi kekuatan ketiga-tiga cabang perkhidmatan ATM telah termaktub dalam perancangan strategik. Antaranya pelan Army for the Next Generation (Tentera Darat Malaysia), Program 15-to-5 untuk Tentera Laut Diraja Malaysia dan Capability 2055 (CAP55) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Kapal CCG-5304 merupakan antara elemen yang diaturgerak oleh kerajaan China bagi memperkukuhkan tuntutan mereka di kawasan bertindih 9-Dash Line./Gambar: Media sosial
Bayangan Tembok Besar di Beting Patinggi Ali
Perairan Sarawak pula bergelora dengan laporan kehadiran kapal China Coast Guard (CCG) yang berlegar di zon maritim kita semenjak 10 Disember lalu.
Melihat kepada laporan oleh New Straits Times, Menteri Pertahanan mengesahkan TLDM telah menghantar kapal KD KELANTAN ke Beting Patinggi Ali (Luconia Shoals) bagi memerhati pergerakan kapal CCG.
”Kapal CCG 5304 mula dikesan dalam Zon Maritim Malaysia di Sarawak pada 10 Disember lalu oleh kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), KM TEGAS,” kata Menteri Pertahanan dalam laporan akhbar tempatan berbahasa Inggeris.

Kapal CCG-5304 turut dilaporkan kerap muncul di kawasan pertindihan zon maritim Filipina dan China./Gambar: Philippine Coast Guard
Kehadiran CCG di Kawasan perairan Sarawak bukanlah sesuatu yang baharu. Namun, melihat kepada laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perang Amerika Syarikat (US Department of War) beberapa hari sebelum Krismas, kadar kehadiran kapal CCG di zon perairan itu semakin kerap.
“Pasukan CCG telah memperluaskan kehadiran dan aktiviti mereka di Laut China Selatan,
“Sebagai contoh, keberadaan CCG di sekitar Beting Patinggi Ali pada tahun 2024 adalah selama 313 hari, berbanding 162 hari pada tahun 2019,” kata laporan Jabatan Perang Amerika Syarikat yang bertajuk ‘Report to Congress on Military and Security Developments Involving the People’s Republic of China 2025’.
Berdasarkan laporan ini, jumlah hari keberadaan CCG di Beting Patinggi Ali meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh 5 tahun.
Laporan yang dikeluarkan oleh Pentagon itu turut menyatakan Malaysia dan China mempunyai hubungan diplomatik yang baik. Pun begitu, China dilaporkan telah meminta Malaysia untuk menghentikan aktiviti eksplorasi dan pengalian minyak serta gas di kawasan yang terletak dalam zon tuntutan 9-Dash Line oleh Beijing.

Tiga 'badai'yang melanda mutakhir ini merupakan permulaan yang mencabar buat ATM dan MINDEF./Gambar: Kementerian Pertahanan Malaysia
Krisis Kepimpinan: Di Mana Panglima?
Di sebalik cabaran operasi di udara dan lautan, ada satu isu paling meruncing sebenarnya berlaku di dalam peringkat tertinggi ATM. Sehingga hari ini, 2 Januari 2026, jawatan Panglima Angkatan Tentera (PAT) masih menjadi tanda tanya.
Pelantikan PAT yang baharu dilaporkan telah tertangguh semenjak 27 Disember lalu.
Dalam struktur ketenteraan yang berteraskan rantaian pemerintahan (chain of command), kekosongan atau ketidaktentuan di pucuk pimpinan tertinggi satu perkara yang merbahaya, apatah lagi ketika kawasan serantau negara sedang berdepan krisis pelbagai dimensi.
Ketiadaan “Nakhoda” di saat kapal sedang dipukul badai (nahas helikopter) dan dikelilingi jerung (ancaman CCG) merupakan resipi kepada ketidakstabilan strategik.

Dengan keadaan geopolitik serantau yang begitu merungsingkan, Malaysia seharusnya bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan yang akan berlaku pada masa hadapan./Gambar: Media sosial Facebook
Tahun 2026 bermula dengan kasar dan mencabar buat ATM serta MINDEF. Insiden di Klebang, tekanan di Sarawak, dan kekosongan di Wisma Pertahanan adalah realiti pahit yang mesti ditelan.
Keselamatan negara bukan lagi topik eksklusif untuk penganalisis tentera semata-mata. Ia melibatkan keyakinan rakyat, keselamatan sempadan, dan maruah negara.
Seperti warga Malaysia yang lain, kita percaya bahawa pihak ATM dan MINDEF mempunyai langkah serta cara tersendiri untuk menangani kesemua yang sedang membadai sektor pertahanan negara. Ianya tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa tanpa usul periksa dan pada masa yang sama ia tak dapat ditangguh begitu lama.
Situasi ini agak rumit dan ia memerlukan langkah yang berhati-hati seperti pepatah Melayu yang berbunyi “menghela rambut dalam tepung: rambut jangan putus, tepung jangan terserak”. Di hari Jumaat yang mulia ini, adalah digalakkan untuk kita berdoa agar Malaysia terus dilindungi oleh Allah swt dan ketiga-tiga badai ini dapat ditangani dengan baik. – airtimes.my
