PETALING JAYA, 16 FEB – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melakar sejarah baharu hari ini dengan peluncuran rasmi Skuadron Rapid Rail, 50 Rejimen Pakar Kereta Api Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Askar Wataniah (AW). Inisiatif strategik ini bertujuan memastikan keselamatan infrastruktur pengangkutan awam kekal pada tahap optimum sewaktu aman mahupun ketika berhadapan ancaman krisis.
Peluncuran yang disempurnakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Menara Prasarana itu menandakan pengukuhan elemen keupayaan logistik dan mobiliti berasaskan sistem rel secara rasmi dalam struktur pertahanan negara.
Pasukan pakar ini akan bertindak sebagai elemen sokongan teknikal kepada Tentera Darat bagi pemulihan infrastruktur rel bandar sekiranya berlaku kecemasan, bencana alam, sabotaj, atau gangguan operasi berskala besar.
Menyedari landskap keselamatan yang sentiasa berubah, Menteri Pertahanan menegaskan bahawa postur pertahanan negara tidak lagi boleh beroperasi pada peringkat konvensional semata-mata.
”Keselamatan hari ini semakin rumit dan tidak menentu. Ancaman tidak datang dalam satu bentuk sahaja, sebaliknya melibatkan pelbagai infrastruktur strategik,
”Oleh itu, tentera simpanan kita mestilah diperluaskan dalam pelbagai lapangan. Pertahanan negara tidak boleh hanya bergantung kepada anggota tetap. Jika negara ini ingin dipertahankan dan keselamatannya dilindungi, ia memerlukan keterlibatan masyarakat yang faham mengenai pertahanan serta bersedia menjadi sukarelawan,” jelas beliau semasa berucap pada majlis tersebut.
Skuadron ini dianggotai oleh 33 pegawai dan 191 anggota Askar Wataniah yang dipilih khusus berdasarkan kepakaran teknikal serta pengalaman profesional mereka dalam perkhidmatan rel bandar.
Khaled menambah, penubuhan skuadron ini sama sekali tidak melibatkan sebarang penambahan jawatan anggota tetap ketenteraan, sebaliknya memaksimumkan kepakaran sedia ada warga Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) sebagai nilai tambah kepada keselamatan nasional.
Sistem rel bandar merangkumi kemudahan Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), dan Monorel merupakan urat nadi yang menyokong mobiliti jutaan rakyat serta kelangsungan ekonomi negara.
Senentara itu pihak Prasarana menyatakan penglibatan warga kerjanya dalam angkatan simpanan adalah cerminan langsung kepada Dasar Pertahanan Menyeluruh (HANRUH).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Leftenan Kolonel Amir Hamdan dalam ucapannya menyebut bahawa penubuhan skuadron ini adalah terjemahan fizikal kepada pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat dalam menjaga kedaulatan negara.
”Langkah menubuhkan skuadron pakar ini merupakan satu manifestasi komitmen jitu kami terhadap keselamatan negara. Melalui kerjasama strategik ini, kepakaran teknikal, kejuruteraan dan operasi rel yang dimiliki oleh warga kerja Rapid Rail kini dapat digembleng secara rasmi sebagai sebahagian daripada aset pertahanan strategik negara,” kata Amir yang juga merupakan Pegawai Pemerintah Skuadron Rapid Rail, 50 Rejimen Pakar Kereta Api RAJD AW.
Pembentukan skuadron ini juga selari dengan perancangan makro Kementerian Pertahanan untuk mencapai sasaran keseimbangan nisbah satu nisbah satu antara anggota tetap dan anggota simpanan.
Bagi mengekalkan keupayaan yang relevan dan berdaya saing, skuadron ini akan melalui pelan pembangunan masa hadapan yang tertumpu kepada peningkatan latihan berterusan serta penyeragaman prosedur operasi bersama pelbagai agensi keselamatan.
Langkah proaktif Prasarana ini diharap menjadi penanda aras dan memangkin penyertaan lebih banyak syarikat korporat untuk membenarkan pekerja mereka berbakti menerusi pelbagai rejimen pakar Askar Wataniah pada masa akan datang. – airtimes.my













