KUALA LUMPUR, 6 MAC – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan kenderaan berperisai 4×4 IAG Guardian masih lagi beroperasi di Lubnan.
IAG Guardian sebelum ini terpalit dengan kontroversi kerana tidak memenuhi spesifikasi seperti mana yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2019.
“Kenderaan tersebut masih lagi dikira sebagai Contingent Own Equipment (COE) dan diterimapakai untuk operasi pengaman pasukan MALBATT di bawah United Nations Interim Force in Lebanon atau UNIFIL di Lubnan,
“Walaupun spesifikasi kenderaan tersebut tidak memenuhi sepenuhnya spesifikasi PBB, penggunaan kenderaan tersebut tetap diterima oleh UNIFIL dan isu pembelian kenderaan perisai tersebut telah pun dinyatakan serta telah diterima oleh Audit Negara pada tahun 2020,” katanya dalam penyataan jawapan lisan di Parlimen.
Beliau menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikmal Hisham yang bertanyakan pelan pelupusan IAG Guardian.
Khaled menegaskan perolehan Panthera dari Turkiye tidak akan menggantikan peranan IAG Guardian.
“Pembelian kenderaan perisai Guardian pada tahun 2018 adalah untuk menggantikan 9 buah kenderaan perisai CONDOR yang telah rosak yang telah menjangkau umur 40 tahun penggunaannya,
“Tidak timbul isu kereta perisai 4 × 4 PANTHERA dibeli bagi menggantikan kereta perisai Guardian,” katanya.
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #MALBATT