Home Teknologi Pertahanan UAV MQ-9B SeaGuardian mampu untuk kesan dan jejak kapal selam

UAV MQ-9B SeaGuardian mampu untuk kesan dan jejak kapal selam

by M.Daim

Teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV) kini semakin berkembang dan sebati dengan keupayaan pertahanan semasa. Selain menjadi mata dan telinga, UAV turut digunakan bagi melaksanakan misi serangan – sama ada dalam bentuk konfigurasi UCAV (Unmanned Combat Aerial Vehicle) atau dron kamikaze.

UAV bukan sahaja digunakan bagi tujuan pemantauan di kawasan daratan malah ia turut memainkan peranan di domain maritim.Sudah tentu, persoalan sama ada UAV mampu untuk mengesan dan menjejak kapal selam akan timbul.

Ini kerana peperangan anti kapal selam (ASW) merupakan salah satu aspek yang penting sekiranya berlaku konflik di kawasan perairan. Teknologi mengesan dan menjejak kapal selam telah pun berkembang lama semenjak aset bawah permukaan ini hadir di medan konflik global.

Teknologi UAV pula telah ditambah nilai dan mempunyai kemampuan untuk mengesan kapal selam yang hadir di sesuatu kawasan perairan.

General Atomics Aeronautical Systems, Inc. (GA-ASI) mempunyai jawapannya tersendiri dalam perkara ini.

MQ-9B SeaGuardian yang dihasilkan oleh syarikat ini merupakan UAV pertama yang dilengkapi dengan kemampuan untuk mengesan dan menjejak kapal selam. UAV ini mempunyai konfigurasi khusus yang dikenali sebagai kit ASW.

Menurut GA-ASI, setiap pesawat SeaGuardian berupaya untuk membawa 4 pod sonobuoy yang dikenali sebagai Sonobuoy Dispensing System (SDS).  Setiap pod ini adalah seberat 340 kilogram sekiranya diisi dengan sonobuoy.

Sebuah pod mampu untuk memuatkan 10 sonobuoy saiz A atau 20 untuk saiz G. Sonobuoy saiz A mempunyai panjang 91.44cm dan lebar 12.07cm. Manakala untuk sonobuoy saiz G adalah lebih kecil dengan mempunyai panjang 42cm dan lebar 12.07cm.

Secara keseluruhan, sesebuah MQ-9B SeaGuardian mampu untuk membawa 40 sonobuoy saiz A atau 80 saiz G.

Sonobuoy akan dilancarkan dari udara dan digugurkan dilokasi yang dikehendaki untuk mengesan objek bawah permukaan.

Jelas GA-ASI, sonobuoy akan memancarkan isyarat akustik.

MQ-9B SeaGuardian direka khusus untuk melaksanakan pelbagai misi di domain maritim.

“Isyarat ini akan diterima dan diproses oleh Sonobuoy Monitoring and Control System (SMCS),

“Perisian pemprosesan akustik ini akan menghasilkan data penjejakan, kelajuan, arah dan ke dalaman sasaran,” jelas GA-ASI.

Tambahnya, MQ-9B SeaGuardian yang dilengkapi dengan konfigurasi ASW ini mampu untuk melaksanakan penerbangan misi dalam radius  1,200 batu nautika (anggaran 2222.4 kilometer).

UAV ini telah berjaya melaksanakan ujian demonstrasi kit ASW pada November 2024.

Pada ketika ini, Jepun mengoperasikan 3 buah MQ-9B. Selain itu, Amerika Syarikat telah meluluskan penjualan 31 buah UAV ini kepada India pada 1 Februari lalu. – airtimes.my

#AirTimes #SeaGuardian #MQ9B #GAASI

Related Articles

Leave a Reply