BERLIN, 6 JUN – Canselor Jerman, Olaf Scholz telah menyuarakan hasrat negara Eropah itu untuk membeli 20 buah lagi jet pejuang Eurofighter Typhoon.
Perkara tersebut dinyatakan oleh beliau semasa hari pertama pameran Berlin Air Show.
Menurutnya, pembelian 20 buah pesawat pejuang tersebut akan dilaksanakan sebelum Jerman mengadakan pilihan raya umum pada tahun 2025.
Pengumuman oleh Olaf merupakan tambahan kepada 38 buah Eurofighter Typhoon yang ditempah oleh Jerman pada tahun 2020. Pembelian tersebut adalah langkah yang dilaksanakan oleh Berlin bagi menggantikan peranan jet pejuang Panavia Tornado yang dioperasikan oleh angkatan udara Eropah itu.
“Kami turut komited dalam meneruskan prospek Eurofighter Typhoon termasuk dalam pasaran eksport,” katanya.
Olaf menyatakan beliau sebelum ini melakukan lawatan kerja ke pusat pengeluaran Eurofighter Typhoon di Manching, Januari lalu.
“Kami akan memastikan kapasiti pusat pengeluaran tersebut akan digunakan sepenuhnya,” ujar beliau.
Sementara itu, Ketua Pengarah Eksekutif Eurofighter, Giancarlo Mezzanatto menyatakan pihaknya menyambut baik pengumuman oleh kerajaan Jerman.
“Pengumuman tersebut merupakan khabar gembira kepada program Eurofighter dan rakan industri,
“Ia sekaligus mencerminkan komitmen Jerman terhadap program ini,” katanya.
Eurofighter Typhoon merupakan jet pejuang pelbagai peranan yang dihasilkan oleh konsortium yang terdiri daripada Airbus, BAE Systems dan Leonardo.
Jet pejuang ini dioperasikan oleh beberapa angkatan udara Eropah termasuk Austria, Itali, Sepanyol dan United Kingdom. Sehingga kini, Arab Saudi, Oman, Qatar dan Kuwait merupakan negara-negara pengguna Eurofighter Typhoon di luar rantau Eropah. – airtimes.my
#AirTimes #Global #Eurofighter #Typhoon