Home Pertahanan dan Keselamatan Penguasaan ilmu penting untuk hadapi cabaran pertahanan negara yang kian rumit – Khaled Nordin

Penguasaan ilmu penting untuk hadapi cabaran pertahanan negara yang kian rumit – Khaled Nordin

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 6 JUN – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini menegaskan ketumbukan pertahanan perlu diperkukuhkan dengan penguasaan ilmu.

Jelasnya, perkara tersebut turut diperakui Menteri-menteri Pertahanan yang ditemui oleh beliau semasa melakukan lawatan ke Singapura baru-baru ini.

“Seperti yang kita tahu, cabaran pertahanan dan kedaulatan negara sudah semakin rumit, pelbagai dan tidak menentu,

“Ia hadir dalam bentuk yang tidak diduga, dengan cara dan pendekatan yang tidak diduga,

“Hampir semua Menteri Pertahanan dari pelbagai negara yang saya temui mengakui, keperluan dan kepentingan untuk mengukuhkan ketumbukan pertahanan dengan pelbagai jenis ilmu, kemahiran dan keupayaan,

“Berbekalkan realiti tu, MINDEF (Kementerian Pertahanan) dan ATM (Angkatan Tentera Malaysia) mahu memberi perhatian kepada usaha mengumpul bakat-bakat terbaik,” katanya.

Beliau menambah, MINDEF dan ATM  mahu menarik seramai mungkin bakat-bakat terbaik dalam pelbagai bidang di luar sana untuk menyertai pasukan tentera tanah air.

Menteri Pertahanan menyatakan perkara tersebut ketika menyampaikan ucapan semasa n Majlis Penyampaian Bantuan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Bantuan Universiti Luar Negara (ULN) Tahun 2024 bertempat di Auditorium Wisma Pertahanan, hari ini.

Khaled Nordin menambah, kehadiran beliau dan delegasi MINDEF ke Singapura pada minggu lalu adalah untuk menghadiri mesyuarat Menteri-menteri Pertahanan di bawah Five Power Defence Arrangements (FPDA) dan Shangri La Dialogue 2024.

“Penyertaan saya dalam kedua-dua platform tersebut telah mengukuhkan keyakinan kita untuk terus memberi perhatian kepada pelbagai bentuk ancaman dan cabaran baharu pertahanan,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan Malaysia dalam satu kenyataan berkata, majlis ini merupakan sambutan tradisi dan menjadi insentif ‘signature’ Yayasan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (YLTAT) untuk meraikan tahap kecemerlangan anak-anak warga ATM.

“YLTAT akan menggalas tanggungjawab untuk mengaturgerak inisiatif pembangunan pendidikan yang mampu memberi ‘multiplier effect’ kepada pembentukan modal insan berdaya saing sejajar dengan aspirasi pendidikan nasional,” kata kenyataan itu.

Seramai 94 pelajar telah menerima insentif bagi kategori IPTA dan ULN.

84 pelajar telah menerima insentif berjumlah RM 1,000 untuk kategori IPTA. Insentif bernilai RM2,000 telah diserahkan kepada 10 pelajar di bawah kategori ULN.

Tambahnya, YLTAT telah menyalurkan sebanyak RM2,369,000 kepada 2,247 pelajar semenjak tahun 2021 hingga 2023. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Pertahanan

Related Articles

Leave a Reply