Home Teknologi Pertahanan Varian baharu Tarantula tampak gagah, curi tumpuan di DSA 2024

Varian baharu Tarantula tampak gagah, curi tumpuan di DSA 2024

by Zaki Salleh

Tidak keterlaluan jika dikatakan semasa Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024 lalu, ruang pameran Mildef International Technologies Sdn  Bhd. (Mildef) paling ramai dikunjungi

Berdasarkan pengamatan, ribuan pengunjung sama ada warga tentera, korporat dan awam ingin tahu tentang kebolehan syarikat bumiputera ini membangunkan kenderaan perisai.

Memandangkan DSA merupakan pameran pertahanan berskala antarabangsa, ia juga turut menarik pengunjung luar negara khususnya delegasi tentera.

Tiga varian kenderaan berperisai buatan Mildef yang menjadi tumpuan ialah HMAV Tarantula, kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (HMLTV) dan kenderaan pembawa senjata (WVC).

Kenderaan pembawa senjata (WCV) merupakan antara produk yang dipamerkan oleh MILDEF semasa Pameran DSA dan NATSEC Asia 2024 baru-baru ini. Foto: AirTimes/M Daim

Sebuah lagi yang dipamerkan ialah varian kenderaan tempur ACV 300 Adnan dinaik taraf iaitu Mildef Adnan Generation-2.

Ini bukanlah penyertaan kali pertama Mildef dalam DSA, malah pada edisi penganjuran lepas,  kenderaan Tarantula juga menjadi tumpuan pengunjung.

Mildef dilihat komited memulakan langkah meneroka industri pertahanan khususnya bidang automotif melalui produk yang dibangunkan.

Penyertaan Mildef dalam industri pertahanan dengan membina kenderaan perisai merupakan iltizam memastikan Malaysia tidak lagi bergantung terhadap ‘produk’ negara luar.

Kenderaan Tarantula yang dipamerkan adalah varian terkini menggunakan casis Monocoque mengikut spesifikasi dan keperluan Tentera Darat.

Ini merupakan varian yang melalui pengubahsuaian yang mana ia dipendekkan sedikit berbanding varian terdahulu.

Sistem persenjataan yang dipasang pada Tarantula. Foto: Air Times/M Daim

Dikendalikan tiga kru, Tarantula boleh membawa tujuh orang penumpang atau anggota tentera dengan laluan keluar masuk melalui pintu sisi dan belakang kenderaan.

Jentera ini dilengkapi dengan perisai tahap 2 dan boleh ditingkatkan kepada perisai tahap 3 melibatkan Stanag 4569 pada bahagian sisi dan hadapan.

Ini merupakan spesifkasi NATO yang menetapkan skala perisai atau perlindungan pada kenderaan perisai ringan untuk membawa anggota dan logistik.

Tarantula dilancarkan pada April 2021 oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tarantula melalui pelbagai ujian daripada kumpulan uji nilai Tentera Darat Malaysia dan Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) Mindef.

Antaranya ujian atas jalan raya selama sembilan hari merangkumi perjalanan 700 kilometer (km) dan 300km lagi ujian panduan di laluan muka bumi sukar.

Tarantula menepati spesifikasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan standard antarabangsa.

la boleh dipasang sistem persenjataan moden seperti Stesen Senjata Kawalan Jauh (RCWS) untuk membolehkannya menembak 360 darjah semasa bertempur.

Potensi Tarantula ketika itu adalah untuk mendapatkan kontrak menggantikan kenderaan perisai pembawa anggota (APC) Radpanzer Condor tentera pengaman Malaysia di Lebanon.

Kenderaan taktikal bermoliti tinggi (HMLTV) yang dipamerkan di reruai MILDEF di DSA 2024. Foto: Air Times/M Daim

Sekurang-kurangnya 136 buah kenderaan jenis A 4×4 akan dibeli menerusi peruntukan RM2.049 bilion sepertimana yang diumumkan selepas Bajet 2023 dibentangkan.

Varian Tarantula yang dipamerkan semasa DSA pula dipasang kupola RCWS dengan senjata mesingan 12.7mm dan 7.62mm.

Pada sisi kenderaan ini pula terdapat pelancar grenad 76mm untuk memberikan tembakan perlindungan semasa pertempuran.

Selain fokus utama untuk kenderaan Tarantula dipilih Tentera Darat, Mildef turut melihat pada potensi pasaran eksport antaranya ke negara Teluk, Afrika Selatan dan serantau.

Melihat pada varian terkini Tarantula, ia nampak hebat, malah lagi gagah sekiranya menjadi aset baharu Tentera Darat. – airtimes.my

#AirTimes #TeknologiPertahanan #Tarantula #MILDEF

Related Articles

Leave a Reply