KUALA LUMPUR, 15 OKT – Kenderaan High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) Tarantula 4×4 telah pun melepasi pelbagai ujian dan pihak Tentera Darat telah merumuskan bahawa ia memenuhi serta mematuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertahanan dalam satu penyataan jawapan lisan Dewan Rakyat hari ini.
Menurut penyataan itu, Tarantula keluaran MILDEF Technologies Sdn. Bhd. telah melalui beberapa proses uji nilai bagi menepati kehendak dan keperluan Operasi Tentera Darat Malaysia (TDM).
Antara ujian dilaksanakan adalah Uji Nilai Keupayaan Kenderaan dalam persekitaran pengoperasian muka bumi Malaysia pada awal tahun 2021 dan juga Penilaian keupayaan syarikat pada Februari 2023.
Selain itu, 2 ujian balistik telah dilakukan iaitu Ujian balistik Tembakan yang dilaksanakan di The Defence Technology Institute, Bangkok, Thailand dan Ujian Balistik Letupan (Mine/Underbelly Test) di Council for Scientific and Industrial Research, Pretoria, Afrika Selatan.
“Berpandukan protokol ujian bagi sesebuah kenderaan perisai, pihak Tentera Darat mendapati bahawa kenderaan berperisai Tarantula 4×4 yang ditawarkan telah memenuhi dan mematuhi spesifikasi teknikal yang ditetapkan,
“Syarikat juga dirumuskan berupaya membekalkan kenderaan ini sebagai produk buatan tempatan dan mempunyai fasiliti pembuatan kenderaan,” kata Menteri Pertahanan dalam penyataan lisan yang menjawab persoalan dikemukakan oleh Ahli Parlimen Tanah Merah, Dato’ Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Andaikata Tarantula dipilih untuk berbakti dalam perkhidmatan Tentera Darat Malaysia, ianya akan memberikan suntikan semangat kepada industri pertahanan tempatan.
Terdahulu, bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu bertanyakan kepada Menteri Pertahanan tentang perkembangan keputusan ujian yang dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) ke atas kenderaan High Mobility Armoured Vehicle (HMAV) jenis 4×4 ‘Tarantula’ buatan syarikat tempatan MILDEF.
“Apakah kenderaan ini menepati kehendak dan keperluan operasi Tentera Darat Malaysia (TDM) serta apakah perolehannya disokong oleh STRIDE,” kata Ikmal.
Sama ada Tarantula 4×4 akan menjadi salah satu elemen dalam Tentera Darat, ia masih terlalu awal untuk diputuskan.
Pada ketika ini, tender perolehan Kenderaan Peninjau Bermobiliti Tinggi (High Mobility Reconnaissance Vehicle, HMRV) sedang dilaksanakan dan dijangka akan berakhir pada November kelak.
Difahamkan tender kenderaan sokongan Tentera Darat yang dikategorikan sebagai kenderaan kegunaan khusus itu telah dibuka semenjak September lalu.
Apa yang pasti, pemilihan Tarantula 4×4 akan memberikan sedikit suntikan semangat kepada industri pertahanan tempatan yang berkeupayaan dalam menghasilkan aset ketenteraan dalam negara.
Malah, MILDEF telah mengorak langkah yang begitu aktif dalam mempromosikan produk mereka di peringkat antarabangsa dengan menghadiri beberapa siri pameran pertahanan serantau.
MILDEF Tarantula dilancarkan pada 2 April 2021 oleh Menteri Pertahanan pada ketika itu, Datuk Seri Ismail Sabri di Kem Perdana Sungai Besi.
Semenjak itu, Tarantula yang merupakan kenderaan tempur pertama buatan anak tempatan menjadi sebutan ramai terutamanya di media sosial. Ini memandangkan kenderaan tempur ini adalah dihasilkan oleh rakyat Malaysia untuk rakyat Malaysia – di mana ia menggunakan hasil dan tenaga kerja anak tempatan. – airtimes.my











