Home Teknologi PertahananEurofighter Tranche 4: Peralihan Luftwaffe ke era peperangan elektronik

Eurofighter Tranche 4: Peralihan Luftwaffe ke era peperangan elektronik

by Aqilah Azman
A+A-
Reset

Penguasaan ruang udara dalam persekitaran keselamatan yang semakin kompleks bukan lagi bergantung semata-mata kepada kelajuan aerodinamik. Ia turut ditentukan oleh keupayaan penderia, perisian, peperangan elektronik dan sambungan data yang membolehkan juruterbang membuat keputusan lebih pantas di medan tempur.

Dalam konteks itu, Airbus secara rasmi memperkenalkan Eurofighter EF-2000 Tranche 4 pertama untuk Tentera Udara Jerman (Luftwaffe) pada 20 Mei 2026, ketika Sidang Kemuncak Pertahanan Airbus di Manching, Jerman. Pesawat yang didaftarkan sebagai 34+03 itu turut dipamerkan bersama peluru berpandu jelajah Taurus.

Pesawat ini merupakan aset pertama daripada 38 Eurofighter Tranche 4 di bawah Projek ‘Quadriga’. Perolehan tersebut membabitkan 30 pesawat satu tempat duduk dan lapan pesawat berkembar, bagi menggantikan armada Eurofighter Tranche 1 yang akan dibersarakan secara berperingkat.

Evolusi Radar ECRS Mk 1

Perbezaan utama Eurofighter Tranche 4 binaan baharu ini berbanding generasi sebelumnya terletak pada sistem penderia utamanya. Pesawat ini dilengkapi dengan European Common Radar System  (ECRS) Mk 1 Step 0, iaitu konfigurasi yang dilaporkan hampir sama dengan radar ECRS Mk 0 yang  digunakan oleh negara Kuwait dan Qatar, tetapi terdapat beberapa pengubahsuaian yang unik bagi keperluan Jerman.

Sistem radar Active Electronically Scanned Array (AESA) itu kemudian dirancang akan dinaik taraf kepada ECRS Mk 1 Step 1. Fasa ini melibatkan perkakasan yang lebih bersedia untuk naik taraf masa hadapan  serta perisian baharu, dengan tumpuan kepada peningkatan keupayaan pengesanan, penjejakan dan pengurusan sasaran dalam operasi udara moden.

Namun, keupayaan terhadap gangguan atau jamming musuh tidak wajar dilihat secara mutlak. Sistem seperti ECRS Mk 1 direka untuk meningkatkan daya tahan dalam persekitaran peperangan elektronik, tetapi keberkesanannya tetap bergantung kepada konfigurasi akhir, ujian operasi dan integrasi dengan sistem sokongan lain.

Peperangan Elektronik dan Kuasa Perkomputeran

Satu lagi lonjakan penting ialah, rancangan melengkapkan sebahagian pesawat Quadriga dengan pod hujung sayap Saab Arexis. Menurut laporan pertahanan terbuka, Bundeswehr memaklumkan bahawa 15 daripada 38 pesawat di bawah projek Quadriga akan dipasang pod Arexis di bawah Step 1 program peperangan elektronik Eurofighter EK Luftwaffe.

Menariknya, pesawat pertama 34+03 bagaimanapun dipamerkan dengan pod hujung sayap EuroDASS standard. Ini memberi petunjuk bahawa pemasangan Arexis berkemungkinan dibuat secara retrofit selepas pesawat berkenaan beroperasi sepenuhnya, tertakluk kepada jadual integrasi, pensijilan dan pelaksanaan program Eurofighter EK

Digabungkan dengan peningkatan kuasa perkomputeran, Eurofighter Tranche 4 bergerak ke arah peranan sebagai nod taktikal udara yang lebih berangkaian. Sistem perisian dan avionik terkini membolehkan data daripada pelbagai penderia diproses dengan lebih tersusun, sekali gus membantu juruterbang membina gambaran medan tempur yang lebih jelas. Dengan itu, nilai tambahnya terletak pada integrasi, bukan spesifikasi semata-mata.

Konteks NATO dan sayap Timur Eropah

Dari perspektif taktikal dan geopolitik, perolehan ini boleh dibaca dalam konteks keperluan Eropah memperkukuh keupayaan udara, terutama selepas peningkatan tumpuan NATO terhadap sayap timurnya. Ketegangan keselamatan di Eropah menjadikan aset pemintas, radar moden dan sistem peperangan elektronik semakin penting dalam rangka pertahanan udara bersepadu.

Apabila pesawat ini diterima dan dioperasikan sepenuhnya, Luftwaffe akan memperoleh platform yang lebih sesuai untuk tugas pertahanan udara moden, termasuk misi kepolisan udara NATO di rantau Baltik dan Eropah Timur.

Dalam konteks itu, peningkatan penderia dan sistem tindak balas boleh memperkukuh cegah rintang (deterrence) yang sangat berkesan. Namun, kesannya tetap bergantung kepada jumlah pesawat tersedia, latihan juruterbang, sokongan logistik, kadar kesiagaan dan tahap integrasi dengan sistem NATO.

Jambatan ke arah FCAS

Dalam jangka panjang, pesawat ini turut disandarkan kepada program Long-Term Evolution (LTE). Ia bertujuan memastikan platform berkenaan terus relevan melalui peningkatan kokpit, komputer misi, sistem kawalan penerbangan, komunikasi dan kawalan persenjataan.

Pendekatan LTE memberi ruang kepada integrasi penderia dan persenjataan masa hadapan, termasuk keperluan serangan jarak jauh yang semakin diberi perhatian dalam perancangan pertahanan Jerman. Ruang naik taraf ini penting, kerana kitar hayat pesawat tempur lazimnya menjangkau beberap dekad.

Menjelang dekad akan datang, ruang udara tempur dijangka dipengaruhi oleh dron sokongan, rangkaian data dan konsep awam pertempuran. Melalui laluan LTE, Eurofighter Tranche 4 sudah pun bersedia untuk dihubungkan ke dalam ekosistem moden, seperti Future Combat Air System (FCAS), khususnya apabila keupayaan berangkaian, penderi teragih dan operasi manusia-mesin diperluan secara berperingkat.

Nilai sebenar Tranche 4 bukan hanya pada badan pesawat baharu atau persenjataan yang boleh dibawanya. Kekuatannya terletak pada gabungan radar ECRS Mk 1, rancangan integrasi Saab Arexis, perisian baharu dan keupayaan untuk berfungsi dalam rangkaian pertahanan udara yang lebih luas.

Justeru, Eurofighter Tranche 4 bukan sekadar pengganti kepada armada Tranche 1 Luftwaffe. Ia menandakan peralihan kepada pesawat tempur yang semakin bergantung kepada penderia, pemprosesan data, peperangan elektronik dan sambungan rangkaian. Dalam persekitaran keselamatan Eropah yang menuntut kesiapsiagaan tinggi, kejayaannya akan ditentukan oleh kelancaran integrasi, jadual penghantaran dan keupayaannya beroperasi bersama sistem NATO serta teknologi masa hadapan. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply