Home Pertahanan dan Keselamatan Khaled: Pembatalan NSM oleh Norway jadi kecacatan kekal dalam hubungan dua hala

Khaled: Pembatalan NSM oleh Norway jadi kecacatan kekal dalam hubungan dua hala

A+A-
Reset

SINGAPURA, 31 MEI – Pembatalan eksport sistem peluru berpandu Naval Strike Missile (NSM) oleh Norway akan menjadi kecacatan kekal dalam hubungan Malaysia-Norway dan menyebabkan hubungan dua hala itu tidak mungkin kembali seperti dahulu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, beliau telah menyampaikan secara jujur dan terus terang kekecewaan serta kekesalan Malaysia kepada Menteri Pertahanan Norway dalam pertemuan yang diadakan di sela-sela IISS Shangri-La Dialogue 2026 di Singapura, hari ini.

Beliau berkata, episod pembatalan NSM itu amat mengecewakan kerana Malaysia dan Norway selama ini mempunyai hubungan yang lama, rapat dan baik.

“Saya telah berjumpa dengan Menteri Pertahanan Norway dan telah menyampaikan secara jujur dan terang mengenai kekecewaan serta kekesalan kita kerana hubungan yang lama, rapat dan baik selama ini wujud antara Norway dan Malaysia melalui episod pembatalan Naval Strike Missile hari ini,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan itu.

Norway mohon maaf, beri alasan pembatalan

Mohamed Khaled berkata, Menteri Pertahanan Norway telah menyampaikan permohonan maaf berhubung pembatalan tersebut, selain menjelaskan asas keputusan negara itu membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia.

Namun, beliau secara terbuka mempersoalkan asas pembatalan yang dikemukakan oleh Norway.

“Menteri Pertahanan Norway telah menyampaikan permohonan maafnya, tetapi turut menyatakan asas-asas pembatalan tersebut yang kita boleh terima, sama ada benar ataupun direka, sekiranya mereka memang tidak mahu ataupun telah membatalkan lesen eksport bagi NSM tersebut,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, sebagai sebuah negara yang menganggap Malaysia sebagai sahabat dan mahu mengekalkan hubungan persahabatan itu, cara Norway mengendalikan pembatalan berkenaan tidak selari dengan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Beliau menegaskan, tindakan Norway bukan sahaja mengecewakan dari segi keputusan, tetapi juga dari segi cara keputusan itu dibuat dan dimaklumkan kepada Malaysia.

“Saya juga telah menyampaikan bahawa sebagai sebuah negara yang memandang Malaysia sebagai negara sahabat dan ingin mengekalkan persahabatan itu, cara serta tindakan yang dibuat tidak selari dengan hubungan baik antara kedua-dua negara,” katanya.

Keputusan lewat dimaklumkan

Menurut Mohamed Khaled, antara perkara yang tidak mencerminkan hubungan baik ialah kelewatan Norway memaklumkan keputusan pembatalan itu kepada Malaysia.

Beliau berkata, kontrak perolehan sistem NSM berkenaan ditandatangani pada 2018 dan Malaysia sepatutnya menerima bekalan itu pada 2026.

Bagaimanapun, katanya, Malaysia hanya dimaklumkan mengenai pembatalan lesen eksport pada April, sedangkan pada Mac, iaitu ketika misil tersebut sepatutnya dihantar, Malaysia hanya diberitahu terdapat masalah tanpa dimaklumkan secara rasmi mengenai pembatalan lesen eksport.

“Kita menandatangani kontrak pada 2018 dan sepatutnya menerima bekalan itu pada 2026,

“Mereka hanya memaklumkan perkara itu kepada kita pada April, manakala pada Mac, ketika misil itu sepatutnya dihantar, kita dimaklumkan terdapat masalah, walaupun pada ketika itu tidak dimaklumkan secara rasmi mengenai pembatalan lesen eksport tersebut,” katanya.

Mohamed Khaled turut menegaskan bahawa keputusan pembatalan itu dibuat secara unilateral oleh Norway.

“Keputusan itu dibuat secara unilateral,” katanya.

Tiada usaha bantu Malaysia dapat semula bayaran

Mohamed Khaled berkata, perkara ketiga yang amat mengecewakan Malaysia ialah ketiadaan usaha daripada kerajaan Norway untuk membantu Malaysia mendapatkan semula bayaran yang telah dibuat bagi sistem NSM tersebut.

Beliau berkata, Malaysia tidak menafikan bahawa keadaan yang berlaku hari ini berpunca daripada tindakan kerajaan Norway membatalkan lesen eksport berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, Norway sewajarnya mengambil tanggungjawab untuk membantu Malaysia mendapatkan kembali bayaran yang telah dibuat, termasuk dengan mendahulukan bayaran kepada Malaysia dan kemudian menyelesaikan tuntutan itu dengan syarikat Norway terbabit.

“Perkara yang tidak menggambarkan kedua-dua negara mempunyai persahabatan yang baik dan hubungan yang lama ialah tiada sebarang usaha untuk membantu kita mendapatkan semula apa yang telah kita bayar.

“Kita tidak menafikan hakikat bahawa keadaan yang kita alami hari ini berpunca daripada tindakan kerajaan Norway yang membatalkan lesen eksport tersebut,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Malaysia mungkin masih boleh menerima Norway sebagai negara sahabat sekiranya kerajaan negara itu menunjukkan usaha untuk memulangkan bayaran yang telah dibuat.

“Kita mungkin boleh menerima, malah mungkin boleh menganggap Norway sebagai sebuah negara sahabat, sekiranya ada usaha daripada kerajaan Norway untuk membayar semula keseluruhan jumlah yang telah kita bayar atau memulangkan semula semua bayaran yang telah dibuat.

“Tindakan untuk mendapatkan semula bayaran daripada syarikat itu sepatutnya dilakukan sendiri oleh kerajaan Norway kerana syarikat tersebut ialah syarikat Norway, sekurang-kurangnya sama ada melalui bayaran penuh ataupun sebahagian bayaran,” katanya.

“Tidak mungkin kembali seperti dahulu”

Mohamed Khaled berkata, perkara itu akan dibawa oleh Menteri Pertahanan Norway kepada kerajaan negaranya.

Namun, beliau menyatakan keraguan sama ada Malaysia akan menerima keputusan yang baik daripada pihak Norway.

“Perkara ini akan dibawa oleh Menteri Pertahanan Norway kepada kerajaannya, tetapi sama ada kita akan mendapat keputusan yang baik ataupun tidak, saya mungkin ragu,” katanya.

Beliau menegaskan, ketiadaan langkah daripada Norway untuk membetulkan keadaan menunjukkan bahawa kenyataan mengenai hubungan baik antara Malaysia dan Norway tidak lagi membawa makna yang sama.

“Ketiadaan semua ini menunjukkan bahawa tidak ada makna kepada kenyataan bahawa hubungan Malaysia dan Norway itu baik, lama dan perlu terus diperkukuh kerana apa yang kita lalui ini akan menjadi satu kecacatan yang kekal dalam hubungan Malaysia dan Norway.

“Dan tidak mungkin ia boleh kembali seperti dahulu,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, tindakan Norway itu akan menjadi pengajaran kepada Malaysia dalam menilai keikhlasan sesebuah negara dalam hubungan antarabangsa.

“Tindakan Norway itu akan menjadi pengajaran kepada kita untuk memastikan bahawa dalam melaksanakan hubungan, kita perlu benar-benar menilai negara mana yang ikhlas dan tulen, dan mana yang tidak,” katanya.

Malaysia hantar surat untuk saman syarikat

Ditanya mengenai langkah seterusnya, Mohamed Khaled berkata, Malaysia telah menghantar surat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap syarikat terbabit.

“Kita telah menghantar surat untuk menyaman syarikat itu,” katanya.

Beliau berkata, Norway masih mempunyai ruang untuk membuktikan kesungguhan menjaga hubungan baik dengan Malaysia sekiranya kerajaan negara itu mengambil tindakan mendahulukan bayaran yang telah dibuat oleh Malaysia.

Katanya, urusan mendapatkan semula jumlah tersebut daripada syarikat terbabit kemudiannya boleh diselesaikan antara kerajaan Norway dengan syarikat negaranya sendiri.

“Jika mereka benar-benar mahu menjaga hubungan baik dan mengekalkan persahabatan itu, mereka mungkin boleh mengambil tindakan untuk mendahulukan apa yang telah kita bayar,

“Terserahlah antara mereka dengan syarikat negara mereka untuk mendapatkan semula apa yang telah didahulukan kepada kita,” katanya.

Isu NSM sebelum ini mencetuskan bantahan Malaysia selepas Norway membatalkan lesen eksport sistem peluru berpandu berkenaan yang dirancang untuk melengkapkan keupayaan kapal tempur pesisir atau Littoral Combat Ship (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia.

Pembatalan itu menimbulkan persoalan terhadap kebolehpercayaan komitmen kontrak pertahanan antarabangsa, khususnya apabila kontrak telah ditandatangani sejak 2018 dan bekalan sepatutnya diterima pada 2026.

Terdahulu, Mohamed Khaled dalam ucapannya di IISS Shangri-La Dialogue 2026 menyifatkan tindakan Norway membatalkan eksport NSM kepada Malaysia sebagai isu yang melangkaui pertikaian kontrak dua hala.

Beliau berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan besar terhadap kebolehpercayaan perjanjian antarabangsa dan perkongsian strategik, khususnya apabila ia melibatkan sebuah negara yang dikenali sebagai pendukung aturan antarabangsa berasaskan peraturan serta sinonim dengan Hadiah Nobel Keamanan.

Menurut beliau, sekiranya sebuah negara yang dikenali kerana menganugerahkan Hadiah Nobel Keamanan boleh meninggalkan komitmen tanpa akibat, hubungan antarabangsa tidak lagi ditadbir oleh prinsip, sebaliknya ditentukan oleh kehendak dan pertimbangan sepihak.

Beliau turut memberi amaran bahawa keadaan itu merupakan hala tuju yang berbahaya kepada sistem antarabangsa, terutama jika turut melibatkan kuasa-kuasa besar.

Dalam ucapan sama, Mohamed Khaled menegaskan bahawa komitmen, perjanjian dan undang-undang antarabangsa mesti terpakai secara sama rata kepada semua negara tanpa mengira saiz, kekayaan, kekuatan ketenteraan atau pengaruh geopolitik. – airtimes.my

Leave a Reply