KUALA LUMPUR, 2 Mei – Kementerian Pertahanan (MINDEF) bercadang untuk menyusun semula persatuan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di seluruh negara bagi memastikan keberkesanan persatuan-persatuan terbabit.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu penting memandangkan ketika ini terdapat 122 persatuan veteran ATM yang berdaftar di seluruh negara.
Tegasnya, menerusi gabungan berkenaan kelak, penyelarasan bantuan akan menjadi lebih tersusun dan mampu memperkukuh hubungan antara kerajaan dan persatuan-persatuan veteran.
“Jadi kita nak susun semula supaya persatuan yang diwujudkan benar-benar dapat memenuhi kehendak ahli dan pandangan mengenai hal veteran dapat dibawa secara bersepadu,
“Hal ini sekali gus akan meningkatkan keberkesanan serta perhatian yang diperoleh terhadap pandangan serta ‘suara’ veteran berbanding setiap persatuan bergerak sendirian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Negeri Johor kali ke-56, pada Khamis.
Tambah Mohamed Khaled, cadangan gabungan itu juga bagi memastikan tiada ahli yang tercicir daripada menerima bantuan.
Persidangan kali ini turut menjadi medan perbincangan pelbagai isu berkaitan kebajikan veteran dan hala tuju persatuan pada masa depan.
Lebih 400 ahli PVATM seluruh Johor hadir bagi menyuarakan pandangan serta cadangan mereka.
Dalam majlis tersebut, Mohamed Khaled juga menyampaikan Pingat Setia Sentiasa Berjuang (PSSB) kepada 49 orang veteran.
“Kerajaan komited untuk terus memastikan para veteran kita dapat menjalani kehidupan yang lebih baik,” ujarnya lagi.-airtimes.my
#pertahanan #veteranATM #ATM #Mindef #airtimes #Malaysia