if ( function_exists( 'wp_body_open' ) ) { wp_body_open(); } else { do_action( 'wp_body_open' ); } ?>
Home Semasa ‘Duty, Honour, Sacrifice’ – ATM diarah keluar dari zon selesa

‘Duty, Honour, Sacrifice’ – ATM diarah keluar dari zon selesa

by Suraya Aziz

PORT DICKSON, 30 APRIL – Panglima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar menegaskan keperluan mendesak untuk mengubah cara kerja dan mentaliti warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), agar tidak terus berada dalam zon selesa.

Tegasnya, ATM tidak boleh hanya berpegang pada cara lama. Sebaliknya, transformasi menyeluruh perlu dilaksanakan, bukan hanya dari segi peralatan malah budaya kerja dan mentaliti warga tentera.

Transformasi yang kita perlukan tidak boleh bersifat luaran. Ia menuntut pembaharuan menyeluruh yang bermula dengan cara kita berfikir, membuat keputusan dan membentuk budaya kerja. Kita tidak boleh lagi terikat kepada cara lama atau terus berada dalam zon selesa.

“ATM mesti berani memecah kebiasaan, menyesuaikan diri secara progresif dan berkembang setara dengan kehendak zaman. Jika tidak, kita berisiko menjadi lapuk, terasing dan gagal memahami realiti baharu yang dihadapi dunia pertahanan moden,” katanya ketika menyampaikan perutusan Perintah Ulung di Kem Segenting, Port Dickson, pada Rabu.

Selain itu, menurutnya, mana-mana pegawai atau anggota yang tidak kompeten, tidak bermoral atau gagal menunaikan tanggungjawab harus dinilai secara objektif untuk ditamatkan perkhidmatan demi menjaga integriti dan kredibiliti ATM.

“ATM perlu dipacu oleh kepimpinan yang berwibawa dan keanggotaan yang kompeten. Maka, setiap pelantikan dan perancangan kepimpinan mesti diasaskan kepada kelayakan sebenar, bukan dipengaruhi oleh hubungan peribadi, budaya pilih kasih atau keutamaan kepada keselesaan,

“Pelaksanaan prinsip ‘right man for the right job’ perlu diterapkan sebagai budaya kerja merentas seluruh organisasi. Semangat kepahlawanan yang berteraskan Duty, Honour dan Sacrifice perlu menjadi pegangan utama warga tentera dalam melaksanakan amanah pertahanan negara” ujarnya lagi.

Keperluan mendesak ini adalah sebahagian daripada elemen penting dalam keseluruhan teras utama falsafah pemerintahan baharu ATM yang digariskan Panglima Angkatan Tentera.

Empat teras tersebut merangkumi kesiapsiagaan operasi, termasuk penubuhan Markas Pemerintahan Siber dan Elektromagnetik (MPSE) sebagai teras pertama, diikuti pelaburan dan pembangunan modal insan yang holistik sebagai teras ke-2.

Teras ke-3 pula berkait dengan kelestarian dan kesejahteraan hidup warga ATM, dengan fokus terhadap penyelenggaraan kemudahan asas, program turun padang, serta penghargaan terhadap jasa veteran. Manakala teras terakhir adalah mengenai diplomasi pertahanan yang memberi penekanan kepada pengukuhan hubungan ketenteraan dua hala di peringkat serantau atau antarabangsa.

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semasa perbarisan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-23 (Foto: AirTimes/Zulhaizi)

Nizam Jaffar berkata, pendekatan ini dibentuk hasil pengalamannya selama 40 tahun dalam perkhidmatan dan keperluan untuk mengukuhkan daya tempur serta kepimpinan strategik ATM secara menyeluruh.

“Falsafah pemerintahan saya yang terbina daripada pengalaman peribadi selama empat dekad dalam perkhidmatan, serta berpandukan prinsip-prinsip yang mendasari Perintah Ulung terdahulu,

“Adalah menjadi harapan Perintah Ulung ini tidak hanya menjadi hiasan di dinding pasukan, tetapi diterjemahkan secara nyata dalam bentuk pelan tindakan yang difahami dan dilaksanakan sepenuhnya di setiap peringkat pemerintahan,” ujarnya lagi.

Terdahulu, Perbarisan Perintah Ulung Panglima Angkatan Tentera Ke-23 yang dilaksanakan di Padang Kawad Akademi Tentera Darat, Kem Segenting, Port Dickson hari ini, dimulakan dengan perbarisan khas melibatkan lapan detasemen yang berkekuatan seramai 38 pegawai dan 769 anggota.

Penonton turut disajikan pertunjukan lintas terbang helikopter dan ragaan pelbagai aset tempur daripada tiga cabang perkhidmatan seperti EC-725AP TUDM, Superlynx TLDM, Agusta A109 LOH TDM, AV8 Gempita dan ASTROS II.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat,Jeneral Tan Sri Datuk Seri Muhammad Hafizuddeain Jantan, Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk (Dr.) Zulhelmy Ithnain, Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Datuk Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan TUDM, serta kira-kira 1,000 warga ATM dari seluruh negara. -airtimes.my

#Airtimes #Malaysia #ATM #Teras #Tentera

Related Articles

Leave a Reply