WASHINGTON, 17 MAC – Tentera Laut Amerika Syarikat menetapkan 28 Mac 2025 sebagai tarikh akhir bagi kelasi dan Marin transgender yang ingin keluar dari perkhidmatan secara sukarela sebelum mereka dikenakan pemberhentian secara paksa.
Langkah ini diperkenalkan susulan arahan eksekutif Presiden Donald Trump yang melarang individu transgender daripada terus berkhidmat dalam tentera, awal tahun lalu.
Tentera Laut berkata, dasar baharu menetapkan, mereka yang masih berkhidmat selepas tarikh akhir akan ditamatkan perkhidmatan secara pentadbiran tanpa bayaran pampasan tambahan.
“Jantina individu tidak berubah, tidak berubah semasa hayat seseorang. Selepas 28 Mac 2025, Jabatan Tentera Laut akan memulakan pemisahan pentadbiran secara sukarela untuk kakitangan ini dan orang lain yang hilang kelayakan untuk perkhidmatan tentera,” kata Tentera Laut pada Khamis lapor USNI.
Mengulas lanjut, bagi mereka yang memilih untuk berundur secara sukarela, bayaran pemberhentian ditawarkan pada kadar dua kali ganda berbanding kebiasaan.
Pampasan ini bersamaan 10 peratus daripada gaji tahunan anggota, didarab dengan jumlah tahun perkhidmatan mereka.
Ini bermakna, bagi anggota yang telah berkhidmat lebih sedekad, bayaran pampasan boleh melebihi RM444,250 ($100,000) dan mencecah sehingga RM 888,500 ($200,000) selepas penggandaan.
Selain itu, anggota transgender juga tidak perlu membayar semula bonus yang diterima sebelum 26 Februari. Manakala, anggota yang berkhidmat lebih 20 tahun layak memohon untuk persaraan.
Dalam perkembangan sama, bagi anggota transgender yang masih ingin berkhidmat, terdapat pengecualian bersyarat yang ditetapkan.
Antaranya, mereka perlu kekal dalam jantina kelahiran mereka selama sekurang-kurangnya 36 bulan, tidak beralih kepada identiti jantina mereka sepanjang tempoh tersebut serta perlu bersedia berkhidmat dalam jantina asal mereka selepas 3 tahun pelaksanaan dasar baharu. -airtimes.my
#Tentera #Tenteratransgender #AS #AirTimes #DonaldTrump