KUALA LUMPUR, 24 SEPT – Lebih 500 sukarelawan awam yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) dilaporkan berdepan ancaman serius apabila dron dan letupan dikesan mengganggu perjalanan mereka menuju ke Gaza.
Menurut kenyataan GSF, lebih 15 dron dikesan terbang rendah di atas bot Alma setiap 10 minit dalam tempoh 24 jam lalu.
Serangan ini turut disertai sekurang-kurangnya 13 letupan berhampiran beberapa bot flotila, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan peserta.
GSF mendakwa objek tidak dikenali turut digugurkan berhampiran 10 bot, menyebabkan kerosakan pada peralatan. Walau bagaimanapun, tiada kematian dilaporkan setakat ini.
“Ancaman ini menunjukkan taktik jelas untuk menakut-nakutkan dan mewujudkan justifikasi serangan terhadap misi awam yang tidak bersenjata,” kata kenyataan itu.
Flotila tersebut membawa bekalan makanan dan perubatan ke Gaza dalam usaha memecahkan kepungan Israel yang berlarutan sejak sekian lama. Peserta terdiri daripada doktor, peguam, ahli parlimen dan aktivis hak asasi yang telah melalui latihan non-keganasan ketat sebelum menyertai misi.
GSF menegaskan Israel didakwa melancarkan kempen fitnah dengan melabelkan flotila sebagai “Hamas flotilla” bagi menghalalkan tindakan ketenteraan.
“Ini adalah cubaan disinformasi (penyebaran maklumat palsu) untuk menjustifikasi serangan terhadap misi kemanusiaan,” tambah mereka.
Susulan ancaman berterusan itu, GSF menggesa negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera mengambil langkah melindungi sukarelawan.
Gesaan turut dibuat agar isu ini dibawa ke Perhimpunan Agung PBB ke-80 bagi menuntut resolusi antarabangsa.
GSF menegaskan bahawa sebarang serangan terhadap flotila awam ini melanggar Konvensyen Geneva dan boleh dianggap sebagai jenayah perang serta jenayah terhadap kemanusiaan. – airtimes.my
#GlobalSumudFlotilla #serangandron #Gaza #misibantuan
