PUTRAJAYA, 5 OKT – Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berada di Istanbul, Türkiye, sebelum dijangka pulang ke tanah air selewatnya 6 Oktober.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, mereka telah dibebaskan oleh pihak berkuasa Israel pada 4 Oktober.
Menurut kenyataan itu, kesemua peserta dilaporkan selamat serta berada dalam keadaan sihat dan sedang menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum kembali ke Malaysia.
Kementerian berkenaan turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan dan usaha gigih memastikan pembebasan rakyat Malaysia yang ditahan, serta kepada Kerajaan Türkiye, Jordan, Mesir, Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN atas bantuan diplomatik mereka.
“Malaysia akan terus bekerjasama rapat dengan rakan antarabangsa bagi memastikan usaha kemanusiaan sentiasa dilindungi dan solidariti global terhadap Palestin terus diperkukuh,” menurut kenyataan itu.
Wisma Putra turut menghargai usaha Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan pasukan Sumud Nusantara yang menyertai misi tersebut, yang walaupun tidak berjaya sampai ke Gaza, telah meningkatkan kesedaran antarabangsa terhadap sekatan haram oleh Israel.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang ditawan oleh tentera laut Israel telah dibebaskan.
Menurut Wisma Putra, kumpulan tersebut berlepas dari Eilat, Israel menaiki pesawat Turkish Airlines TK6921 pada jam 1.40 petang waktu tempatan dan tiba di Istanbul dua jam kemudian. – airtimes.my
