WASHINGTON, 24 SEPT – Embraer dan Sierra Nevada Corporation (SNC) memeterai perjanjian pembelian A-29 Super Tucano sempena Persidangan Air, Space & Cyber anjuran Persatuan Angkatan Udara Amerika (AFA).
Menurut kenyataan bersama, pembelian itu dibuat lebih awal sebelum Foreign Military Sales (FMS) dimuktamadkan.
Langkah SNC ini membolehkan rakan asing mereka memulakan latihan juruterbang sebaik sahaja kontrak FMS dianugerahkan, sekali gus mempercepatkan pencapaian tahap Initial Operational Capability (IOC) sehingga setahun lebih awal.
Pesawat tersebut akan dihasilkan oleh fasiliti Embraer di Jacksonville, Florida. Sepanjang lebih sedekad, Embraer dan SNC telah menyerahkan hampir 50 buah A-29 Super Tucano kepada pelbagai angkatan udara di seluruh dunia.
Ketua Pegawai Komersial Embraer Defense & Security, Frederico Lemos, berkata pembelian itu membuktikan kejayaan berterusan Super Tucano yang dikeluarkan di Amerika Syarikat.
“Super Tucano menawarkan keupayaan serangan ringan dan pelbagai misi yang berkesan serta mampu dimiliki untuk memenuhi keperluan Amerika Syarikat dan sekutu,” katanya.
Naib Presiden Kanan SNC, Ray Fitzgerald, pula menegaskan bahawa pelaburan awal syarikat itu bertujuan mempercepatkan kemajuan program.
“Dengan pembelian awal ini, kami dapat menyediakan IOC lebih pantas serta masa latihan tambahan kepada juruterbang. Kami berbangga dapat meneruskan kerjasama lama bersama Embraer,” jelasnya.
A-29 Super Tucano merupakan pesawat turboprop pelbagai misi dengan rekod operasi lebih 600,000 jam penerbangan. Ia berupaya melaksanakan pelbagai misi termasuk latihan juruterbang lanjutan, sokongan udara rapat (CAS), rondaan udara, interdict udara, latihan Joint Terminal Attack Controller (JTAC), ISR bersenjata, pengawasan sempadan dan pengiring udara.
Sehingga kini, 22 buah angkatan udara dunia telah memilih A-29 kerana fleksibiliti operasi, kos kitar hayat rendah serta keupayaan beroperasi di landasan tidak diturap di kawasan terpencil. Pesawat ini turut dilengkapi sistem avionik moden, suite komunikasi komprehensif serta kerangka teguh dengan tahap penyelenggaraan rendah.
SNC ialah sebuah kontraktor pertahanan dan keselamatan berpangkalan di Amerika Syarikat yang membangunkan penyelesaian aeroangkasa, sistem komunikasi, risikan dan teknologi keselamatan negara merentas domain laut, darat, udara, angkasa serta siber. – airtimes.my
#Airtimes #Embraer #A-29 #SuperTucano #SNC #AmerikaSyarikat
