BRUSSELS, 24 SEPT– NATO mengeluarkan amaran keras terhadap Rusia bahawa mereka tidak akan berdiam sekiranya Moskow meneruskan provokasi di kawasan negara anggota pertubuhan itu.
Setiausaha Agung NATO, Mark Rutte berkata keputusan sama ada menyerang jet penceroboh dibuat secara langsung berdasarkan risikan semasa termasuk niat, persenjataan dan ancaman terhadap anggota atau infrastruktur.
“Jika perlu, kita akan lakukannya,” kata beliau sambil menegaskan bahawa Komander Tertinggi Bersekutu NATO di Eropah (SACEUR) mempunyai kuasa penuh untuk bertindak atas nama NATO.
Dalam kenyataannya, beliau menyebut bahawa jet Rusia diiring keluar dari ruang udara Estonia oleh pesawat Sweden, Finland dan Itali apabila tiada ancaman langsung dapat disahkan.
Rutte menambah bahawa operasi Eastern Sentry dan latihan bersama termasuk penyertaan kapal induk USS Gerald R. Ford menunjukkan bahawa postur pertahanan NATO kini lebih fleksibel dan bersedia menggerak balas sebarang provokasi.
Beliau menegaskan bahawa komitmen NATO terhadap Artikel 5 adalah tidak boleh digugat.
“Kami tidak mahu melihat corak provokasi ini berterusan, sama ada sengaja atau tidak, tetapi kami berdiri sedia untuk mempertahankan setiap inci wilayah sekutu,” tegasnya.
Rutte juga menekankan bahawa selagi provokasi berterusan, bukan sahaja tindakan pencegahan akan diteruskan, tetapi NATO akan menggunakan semua alat ketenteraan dan bukan ketenteraan secara sah untuk mempertahankan keadaan. – airtimes.my
#global #NATO #Russia #airtimes #ketenteraan #geopolitik
