NEW YORK, 25 SEPT – Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan mengadakan Lawatan Kerja ke New York dari 25 hingga 28 September bagi menghadiri Sesi ke-80 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 2025).
Kehadiran ini menzahirkan komitmen Malaysia terhadap multilateralisme dan kerjasama global dalam isu keamanan, ekonomi serta pembangunan mampan.
Menurut Wisma Putra dalam satu kenyataan, UNGA kali ini bertemakan “Better together: 80 Years and More for Peace, Development and Human Rights”, selaras dengan agenda Kerajaan Madani untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa merentas keamanan dan keselamatan, perdagangan dan pelaburan, ekonomi hijau, teknologi baharu serta pembangunan mampan.
Tok Mat dijadual menyampaikan Kenyataan Negara di Debat Umum pada 28 September (5 pagi waktu Malaysia) dan sesi tersebut disiarkan secara langsung melalui UN WebTV.
Beliau turut menyertai beberapa mesyuarat peringkat tertinggi dan mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawat serta Setiausaha Agung PBB.
Penyertaan Malaysia pada tahun ini menegaskan peranan negara sebagai suara sederhana yang konsisten di pentas antarabangsa, dengan fokus memajukan keamanan dan keselamatan serantau serta global, selain merancakkan kerjasama ekonomi dan teknologi untuk pembangunan mampan. – airtimes.my
#TokMat #PBB #Malaysia #keamanan #airtimes #wismaputra
