Home DiskusiDunia mula akui Palestin, meski jalan damai masih jauh

Dunia mula akui Palestin, meski jalan damai masih jauh

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Dunia menyaksikan detik penting dalam landskap politik antarabangsa apabila beberapa negara Barat termasuk United Kingdom, Kanada, Australia dan Portugal pada minggu lalu telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara berdaulat.

Kini, lebih 150 daripada 193 negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah pun mengiktiraf Palestin, sekali gus meningkatkan legitimasi tuntutan rakyat Palestin di pentas dunia.Langkah ini yang digambarkan sebagai bersejarah, memberi isyarat bahawa sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin semakin meluas, khususnya selepas konflik Gaza yang berlarutan hampir dua tahun.

Bagi banyak pihak, tindakan ini bukan sekadar simbolik. Ia dilihat sebagai tamparan diplomatik terhadap Israel yang berkeras menentang penubuhan negara Palestin. Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, malah memberi amaran bahawa “tidak akan ada negara Palestin” dan menuduh pengiktirafan tersebut sebagai satu bentuk ganjaran terhadap Hamas berikutan serangan 7 Oktober 2023. Reaksi keras itu mencerminkan kebimbangan Israel bahawa sokongan antarabangsa terhadap Palestin semakin mendapat momentum.

Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). FOTO: Hiasan

Gelombang pengiktirafan itu kini merangkumi Perancis, yang secara rasmi telah mengiktiraf Palestin dalam Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.Dengan penyertaan Perancis, senarai negara Barat yang mengiktiraf Palestin semakin kukuh. Langkah ini turut disertai negara-negara Eropah lain seperti Belgium, Andorra, Luxembourg, Malta dan Monaco.

Langkah pengiktirafan itu dijangka bertambah apabila negara-negara lain menyusul pada sesi ke-80 Perhimpunan Agung PBB di New York. Jika ini direalisasikan, ia akan menjadi gelombang pengiktirafan terbesar terhadap Palestin dalam lebih sedekad.

Bagi Israel, perkembangan ini bukan sahaja satu cabaran diplomatik, tetapi juga ancaman terhadap naratif keselamatan yang cuba dipertahankan sejak sekian lama. Israel berpegang bahawa sebarang pengiktirafan negara Palestin perlu didahului oleh rundingan damai yang menyeluruh.

Rakyat Palestin yang dijadikan tahanan dibebaskan selepas fasa gencatan senjata pertama bermula. FOTO: Hiasan

Namun, keadaan di lapangan jauh daripada ideal. Konflik Gaza yang berpanjangan telah menyebabkan kemusnahan besar, dengan laporan antarabangsa mendakwa sebahagian kawasan berada di ambang kebuluran.

Tuduhan genosid pula menambahkan lagi tekanan moral ke atas Israel, meskipun mereka menafikannya.

Pengiktirafan oleh negara-negara Barat juga memberi impak kepada hubungan trans-Atlantik. Selama ini, AS menjadi sekutu paling setia Israel dan menolak sebarang usaha unilateral untuk mengiktiraf Palestin.

Rakyat Gaza terpaksa berebut untuk mendapat makanan kerana bekalan makanan telah disekat oleh Israel untuk memasuki Gaza. FOTO: Hiasan

Namun, keputusan sekutu rapat Washington seperti UK, Kanada, Australia dan kini Perancis menunjukkan wujud perubahan pendirian yang signifikan. Persoalannya kini, adakah tekanan ini cukup kuat untuk mengubah haluan dasar AS terhadap isu Palestin-Israel?.

Dalam kalangan negara Arab dan Islam, perkembangan ini sudah tentu disambut baik. Selama berdekad, perjuangan Palestin sering berdepan cabaran apabila dunia Barat enggan memberi pengiktirafan rasmi.

Kini, apabila negara-negara Barat mula membuka jalan, ia memberikan suntikan baharu terhadap usaha membentuk negara Palestin yang merdeka.

Gambar kemusnahan di Gaza. FOTO: Hiasan

Namun begitu, cabaran tetap besar. Israel masih menguasai Tebing Barat dan mengepung Gaza. Seruan oleh beberapa menteri kanan Israel untuk menjajah wilayah Palestin menunjukkan bahawa usaha damai jauh daripada tercapai. Keadaan di lapangan menjadi semakin kompleks dengan pembinaan penempatan haram dan operasi ketenteraan yang berterusan.

Akhirnya, gelombang pengiktirafan negara Barat terhadap Palestin boleh dianggap sebagai tanda perubahan dalam arus diplomasi global. Ia membawa mesej jelas bahawa dunia tidak lagi boleh menutup mata terhadap penderitaan rakyat Palestin.

Persoalan yang tinggal ialah sama ada langkah ini sekadar simbolik di atas kertas, atau benar-benar akan membuka jalan ke arah kemerdekaan negara Palestin yang telah lama menjadi impian tetapi sering digagalkan oleh realiti politik dan ketenteraan. –airtimes.my

#AirTimes #Palestin #PBB #Diplomasi #Pengiktirafan

Related Articles

Leave a Reply