Percubaan yang diumumkan oleh General Atomics Aeronautical Systems, Inc. bersama AeroVironment menandakan satu titik perubahan dalam konsep penggunaan pesawat tanpa pemandu.
Antara 22 hingga 24 Julai 2025, sebuah MQ-9A Block 5 telah digunakan untuk membawa dan melancarkan loitering munition Switchblade 600 buat kali pertama. Ujian dilakukan di U.S. Army Yuma Proving Grounds dan melibatkan dua pelancaran, satu dengan hulu ledak inert dan satu dengan hulu ledak letupan tinggi.
“Kerjasama ini menunjukkan bagaimana gabungan pelbagai teknologi tanpa pemandu benar-benar dapat memberi nilai dan kesan kepada anggota di medan,” kata David R. Alexander, Presiden GA-ASI.
Gabungan mothership dan pemusnah pintar
MQ-9A Reaper merupakan pesawat tanpa pemandu bersaiz sederhana yang dibangunkan oleh General Atomics Aeronautical Systems, Inc. Ia direka khusus untuk misi pengawasan berterusan dan operasi serangan bersasar. MQ-9A mempunyai daya tahan penerbangan melebihi 27 jam dan boleh beroperasi sehingga ketinggian sekitar 50,000 kaki. Pesawat ini dikuasakan enjin turboprop yang lebih berkuasa berbanding generasi Predator sebelumnya dan mampu membawa muatan luar sehingga 1,746 kilogram.
Pesawat ini dilengkapi dengan sensor optik beresolusi tinggi, kamera inframerah dan radar, yang membolehkan pengesanan serta pemantauan sasaran di darat dengan ketepatan tinggi. Keupayaan membawa pelbagai jenis muatan termasuk peluru berpandu udara ke darat menjadikan MQ-9A sebagai platform serba guna yang mampu melaksanakan operasi ISR (Intelligence, Surveillance and Reconnaissance) serta serangan presisi.

Switchblade 600 loitering munition generasi baharu yang diuji bersama MQ-9A, direka untuk menyerang sasaran jarak jauh dengan ketepatan tinggi. Foto: AeroVironment
Switchblade 600 adalah loitering munition generasi baharu yang dibangunkan oleh AeroVironment. Berbeza dengan peluru berpandu biasa, Switchblade direka untuk dilancarkan, melayang di ruang udara bagi tempoh tertentu, dan menunggu peluang untuk menyerang sasaran yang dikenal pasti.
Varian Switchblade 600 membawa peningkatan signifikan berbanding varian terdahulu dengan hulu ledak berkuasa tinggi, jarak operasi lebih jauh dan sistem panduan yang lebih baik. Saiznya masih cukup kecil untuk diintegrasikan dengan platform tanpa pemandu besar seperti MQ-9A, menjadikannya senjata serbaguna bagi misi di kawasan berisiko tinggi.
Hasil ujian lapangan
Pelancaran Switchblade 600 dari MQ-9A pada Julai 2025 adalah kali pertama ujian seumpama itu dilaksanakan, memperlihatkan potensi integrasi antara UAS besar dan loitering munitiom berskala lebih kecil.
Perincian operasi menunjukkan dua aspek penting. Pertama, MQ-9A bertindak sebagai platform penghantar atau mothership, membolehkan loitering munition dilancarkan dari jarak yang lebih jauh. Dalam erti kata lain, penggunaan Switchblade mampu menambah jarak serangan MQ-9A
Kelebihan operasi adalah jelas. MQ-9A yang membawa muatan kecil seperti Switchblade mampu mengekalkan jarak selamat daripada sistem pertahanan musuh sambil menyalurkan kemampuan serangan jauh melalui muatan yang dilancarkan. Ini memberikan operator untuk membuat pilihan risiko yang lebih rendah dan taktik serangan yang lebih terpilih di kawasan dipertikaikan.
Selain itu, selepas pelancaran, kawalan Switchblade dipindahkan daripada stesen kawalan MQ-9A kepada operator di darat yang lebih hampir dengan kawasan operasi. Peralihan kawalan ini menunjukkan kapasiti operasi gabungan dan kesinambungan kawalan dalam persekitaran konflik.

MQ-9A Block 5 melakukan penerbangan ujian sebagai platform pelancar baharu loitering munition, menandakan peranan pesawat tanpa pemandu besar sebagai ‘mothership’. Foto: U.S Air Force
Cabaran dan impak strategik
Walaupun tercapai, perkembangan ini menimbulkan cabaran teknikal dan etika. Pertama, penggunaan mothership UAS meningkatkan kesukaran pertahanan udara kerana ancaman kini boleh dilancarkan dari platform tanpa pemandu pada pelbagai profil penerbangan. Kedua, perpindahan kawalan memerlukan rangkaian komunikasi selamat yang tahan gangguan, termasuk SATCOM serta enkripsi bagi memastikan rantaian kawalan tidak terputus.
Dari sudut undang-undang dan etika, loitering munition yang beroperasi secara separa autonomi menuntut peraturan dan garis panduan yang jelas.
Konsep mothership UAS menawarkan juga kelebihan taktik.
MQ-9 yang berfungsi sebagai platform penghantar boleh melakukan misi pengawasan panjang dan pada masa sama menjadi platform pelancar apabila perlu. Ini menambah lapisan operasi yang dikenali sebagai ‘distributed lethality’ di mana aset kecil yang dilancarkan melaksanakan fungsi serangan tanpa menempatkan aset berharga dalam jarak bahaya.
Ujian GA-ASI dan AeroVironment menandakan langkah penting dalam evolusi sistem tanpa pemandu. Keupayaan untuk membawa dan melancarkan loitering munition sambil mengekalkan pilihan kawalan berganda menunjukkan perubahan pesat dalam konsep operasi. – airtimes.my
#AirTimesNewsNetwork #TeknologiPertahanan #MQ9A #Switchblade600 #MothershipUAS #GAASI #AeroVironment #UAS
