KUALA LUMPUR, 11 DIS – Fasa pertama pembayaran Pelarasan pencen kepada kumpulan veteran akan bermula pada Disember ini.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam penyataan jawapan lisan di Parlimen.
Fasa kedua pembayaran tersebut akan dilaksanakan akan dilaksanakan pada Januari 2026. Khaled Nordin sebelum ini mengumumkan pelarasan pencen kepada veteran ATM selari dengan pelaksanaan Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Dalam jawapan yang sama, Menteri Pertahanan menyatakan bilangan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bersara sebelum 1 Januari 2013 adalah seramai 65,502 orang.
Menyentuh pelarasan pencen yang khusus untuk golongan tersebut, beliau menyatakan pihak Kementerian Pertahanan masih belum boleh mengulas perkara tersebut. Ini memandangkan kes tuntutan saman berkaitan pelarasan pencen di Mahkamah Tinggi oleh veteran ATM.
Menurut penyataan jawapan itu, kes tersebut masih diperingkat Mahkamah Rayuan dan dijangka akan selesai pada tahun hadapan.
“Sehubungan dengan itu, adalah tidak wajar untuk memberi sebarang ulasan selagi mana proses mahkamah masih berlangsung,
“Kementerian juga tidak dapat memberikan ulasan mengenai implikasi kewangan yang tepat sehingga kes rayuan ini selesai,
“Selanjutnya, Kerajaan akan akur dengan apa jua keputusan mahkamah dan percaya SSPA yang akan dilaksanakan telah pun mengambil kira perkara ini,” kata Khaled Nordin yang menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Ketereh, Dato’ Khlir Mohd Nor.
Jelas Menteri Pertahanan, di bawah SSPA, semua veteran berpencen layak mendapat pelarasan pencen mengikut kategori kumpulan masing-masing iaitu 15% bagi kumpulan Pengurusan dan Professional dan sokongan, manakala, Kumpulan Pengurusan Tertinggi sebanyak 7%.
#AirTimes #Malaysia #Pertahanan #Veteran