Home Pertahanan dan Keselamatan Malaysia dan Vietnam perbaharui perjanjian kerjasama pertahanan yang tamat pada 2018

Malaysia dan Vietnam perbaharui perjanjian kerjasama pertahanan yang tamat pada 2018

by M.Daim

HANOI, 4 DIS – Lawatan Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan ke Hanoi menyaksikan pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertahanan antara Malaysia-Vietnam diperbaharui.

Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan berkata, MoU yang dimeterai sebelum ini telah tamat pada 2018.

“Pembaharuan itu merupakan satu peristiwa penting dalam mengeratkan semula hubungan pertahanan antara kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.

MoU ini dimeterai semasa pertemuan Mohamad Hasan dengan rakan sejawatannya, Jeneral Phan Van Giang.

Menyentuh MoU yang diperbaharui, kedua-dua Menteri menyatakan komitmen mereka untuk melaksanakan perundangan yang termaktub dan memastikan kejayaannya dalam memperkukuh hubungan pertahanan dua hala.

Lawatan Menteri Pertahanan ke Hanoi menyaksikan pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama pertahanan Malaysia-Vietnam yang sebelum ini telah tamat pada tahun 2018. FotoL Kementerian Pertahanan Malaysia.

Terdahulu, Mohamad dan Phan telah mengadakan mengadakan Mesyuarat Dua Hala mengenai kerjasama pertahanan Malaysia -Vietnam.

“Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada peningkatan kerjasama ketenteraan, memupuk kerjasama dalam industri pertahanan dan mengadakan Dialog Strategik Pertahanan antara kedua-dua Kementerian,

“Kedua-dua menteri terlibat dalam perbincangan serta menekankan kepentingan kestabilan serantau dan menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan keupayaan pertahanan,

“Mesyuarat Dua Hala ini turut membincangkan mengenai pelbagai aspek kerjasama ketenteraan, termasuk latihan bersama, perkongsian perisikan, dan kerjasama dalam teknologi pertahanan,” kata Kementerian Pertahanan Malaysia.

Kedua-dua pihak menyuarakan komitmen untuk melaksanakan dan menjayakan perkara yang termaktub dalam MoU. Foto: Kementerian Pertahanan Malaysia.

Kenyataan itu turut menjelaskan Menteri Pertahanan menekankan kepentingan penglibatan diplomatik dalam menangani cabaran kontemporari dan menegaskan semula usaha Malaysia untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau.

Mohamad berada di Vietnam bagi melakukan lawatan kerja mulai hari ini sehingga 5 Disember. Dalam rangka lawatan tersebut, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinch.

Pertemuan ini telah membincangkan mengenai kepentingan kedua-dua negara dan memberi tumpuan terhadap keselamatan maritim.

“Kedua-dua pihak telah menyatakan minat bersama dalam mengekalkan persekitaran maritim yang stabil dan selamat serta meneroka jalan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang kritikal ini,” kata Kementerian Pertahanan Malaysia. – airtimes.my

#Malaysia #Pertahanan #Vietnam

Related Articles

Leave a Reply