KUALA LUMPUR, 13 FEB – Kementerian Pertahanan (MINDEF) menegaskan, kualiti pakaian celoreng yang dibekalkan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dipantau dan ditingkatkan bagi memastikan ketahanan serta keselesaan dalam operasi.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, pakaian celoreng yang digunakan oleh anggota ATM mengalami kemerosotan kualiti dan ketahanan seiring dengan kekerapan pemakaian serta kaedah penjagaan.
“Secara umumnya, sebarang tekstil atau fabrik akan mengalami kemerosotan kualiti dan ketahanan bergantung kepada tatacara pemakaian, tahap penjagaan seperti kaedah cucian serta penggunaan bahan pencuci. Dalam hal ini, pakaian seragam yang dibekalkan kepada ATM, khususnya Tentera Darat Malaysia, juga tidak terkecuali daripada mengalami kesan tersebut.
“Namun, pihak Tentera Darat Malaysia sentiasa mengambil berat terhadap faktor kualiti, khususnya yang melibatkan pakaian celoreng yang dibekalkan kepada anggota,” menurut kenyataan lisan di laman web Parlimen, pada Rabu.
Tegasnya, tahap kualiti pakaian seragam yang ditetapkan MINDEF meliputi aspek ketahanan dan kelasakan, fungsi pakaian, keselesaan pemakaian serta kesesuaian dengan persekitaran operasi.
Beliau berkata demikian bagi menjawab persoalan Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz, yang membangkitkan isu kesukaran memperoleh Pakaian No. 5 Celoreng anggota Tentera Darat Malaysia serta aduan mengenai kualitinya yang kurang memuaskan.
Mengulas lanjut, Khaled menegaskan, pihaknya dengan kerjasama Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) serta Cawangan Teknik dan Pemeriksaan sentiasa memastikan kualiti pakaian celoreng menepati spesifikasi yang telah ditetapkan.
“Cawangan Teknik dan Pemeriksaan melaksanakan penerimaan bekalan dengan mengambil sampel secara rawak bagi setiap penghantaran untuk diuji di STRIDE. Jika terdapat bekalan yang tidak memenuhi spesifikasi, tindakan akan diambil, termasuk penalti atas mutu rendah atau penolakan bekalan, selaras dengan terma kontrak pembekal,” tegas MINDEF.
Terdahulu, Ikmal Hisham yang juga Ketua Biro Portfolio Pertahanan Perikatan Nasional (PN) mendedahkan, beliau menerima aduan daripada anggota Tentera Darat Malaysia mengenai kesukaran mendapatkan pakaian celoreng berkualiti.
Menurut beliau, bukan sahaja pakaian celoreng sukar diperoleh, malah kualitinya turut dipersoalkan kerana didakwa mudah rosak apabila digunakan dalam operasi hutan.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, semalam. – airtimes.my
#Kementerianpertahanan #MINDEF #ATM #KhaledNordin #AirTimes #Malaysia