RINGKASAN:
- UNIFIL sahkan 15 das tembakan senjata ringan dan 100 das tembakan mesingan disasarkan ke arah satu kawasan ke dalam lingkungan 50 meter pasukan pengaman.
- Dua insiden tembakan dilaporkan berlaku di satu lokasi yang sama di Kafer Shouba (Kfar Shouba)
- UNIFIL suarakan kebimbangan trend insiden sebegini yang dilaporkan semakin kerap berlaku dan membahayakan nyawa anggota pengaman.
KUALA LUMPUR, 3 JAN – Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) melaporkan dua insiden tembakan yang menyasarkan kumpulan peronda pasukan pengaman.
UNIFIL dalam satu kenyataan berkata, kejadian berlaku di Kafer Shouba (Kfar Shouba), selatan Lubnan.
Menurut UNIFIL, pasukan peronda mereka telah dihujani tembakan senjata ringan dan mesingan dari kedudukan tentera Israel (IDF) di arah selatan Garisan Biru (Blue Line).
Insiden pertama dilaporkan berlaku pada awal 2 Januari apabila 15 das tembakan senjata ringan disasarkan ke satu lokasi kurang 50 meter dari kedudukan pasukan pengaman yang sedang melakukan rondaan.

Pihak UNIFIL menegaskan sebarang operasi rondaan di kawasan sensitif berhampiran Garisan Biru (Blue Line) akan dimaklumkan kepada pihak tentera Israel terlebih dahulu. /Foto: UNIFIL
“Tiada kecederaan dan kerosakan aset dilaporkan dalam kedua-dua insiden.
“Pasukan pengaman telah mengenal pasti punca tembakan kedua-dua insiden adalah dari satu kedudukan IDF di selatan Garisan Biru,” kata UNIFIL dalam kenyataan tersebut yang turut menegaskan pihaknya telah menghantar permintaan kepada Tel Aviv melalui saluran perhubungan dengan IDF agar menghentikan tembakan.
Dalam kenyataan yang sama, pihak UNIFIL menyatakan insiden sebegini dilaporkan kerap berlaku sejak kebelakangan ini.
“Pihak UNIFIL terlebih dahulu telah memaklumkan kepada IDF mengenai aktiviti rondaan di kawasan sensitif berhampiran Garisan Biru, mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Insiden sebegini semakin kerap dan menjadi satu trend yang membimbangkan,” tegas UNIFIL.

Kafer Shouba merupakan salah satu lokasi penugasan UNIFIL yang dibawah pengawasan India. /Foto: Peta UNIFIL JANUARI 2025
Kafer Shouba (Kfar/Kafr Shouba) yang merupakan kawasan berbukit di wilayah Arkoub, terletak di bawah tanggungjawab operasi Sektor Timur (Sector East) UNIFIL. Berdasarkan maklumat terbuka, kawasan ini dikawal oleh Batalion India (INDBATT).
Sepanjang tempoh Disember lalu, UNIFIL telah merekodkan siri gangguan yang berterusan termasuk tembakan amaran dan halangan pergerakan. Walaupun tiada kematian anggota pengaman direkodkan secara langsung akibat tembakan dalam tempoh sebulan kebelakangan ini, kekerapan insiden seperti di Kafer Shouba meletakkan risiko keselamatan yang tinggi terhadap pasukan peronda. “Serangan ke atas atau berhampiran pasukan pengaman adalah pelanggaran serius terhadap Resolusi Majlis Keselamatan 1701. Kami mengulangi gesaan kepada IDF untuk menghentikan serta-merta tingkah laku agresif ini,” tegas UNIFIL. – airtimes.my
