MARAKAH, 13 JAN – Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-12 telah melaksanakan program MALBATT Medic Care Day bagi memberikan perkhidmatan kesihatan kepada komuniti tempatan yang terkesan akibat konflik di Lubnan.
Program yang bertempat di Malaysian Hall, Municipality Building of Marakah itu menawarkan pemeriksaan kesihatan umum dan rawatan pergigian bagi penduduk di Marakah.
MALBATT 850-12 dalam satu kenyataan berkata, usaha ini adalah untuk memastikan penduduk setempat dapat menjalani pemeriksaan yang diperlukan, terutama dalam keadaan kekurangan fasiliti serta kos yang tinggi akibat konflik yang melanda Lubnan.
“Selain itu, aktiviti untuk kanak-kanak turut diadakan dengan memberi mereka peluang untuk berinteraksi dalam suasana positif bersama warga MALBATT selain memperkukuhkan keharmonian di antara golongan muda dan masyarakat setempat.
“Program ini telah mencatatkan penyertaan seramai 158 orang warga tempatan yang mendaftar untuk pemeriksaan kesihatan serta pergigian,” katanya pada Ahad.
Jelasnya lagi, penglibatan anggota pengaman wanita MALBATT juga telah memberi impak yang besar sepanjang program khususnya dalam membina hubungan dengan golongan wanita dan kanak-kanak.
“Usaha ini sejajar dengan keperluan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekaligus meningkatkan peranan dalam merapatkan jurang komunikasi dengan golongan tersebut.
“Sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan dengan kehadiran penduduk dari pelbagai lapisan umur, yang mencerminkan kepercayaan tinggi terhadap komitmen dan keberadaan MALBATT dalam membantu mereka yang memerlukan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, program ini adalah salah satu aktiviti yang dirangka dalam program Civil-Military Cooperation (CIMIC), yang bukan sahaja memberi manfaat langsung kepada penduduk, tetapi juga memperkukuhkan hubungan antara pasukan MALBATT, masyarakat Lubnan, dan misi United Nations Interim Force in Lebanon (UNIFIL).
“Usaha ini turut meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap peranan Malaysia dalam misi pengaman global.” katanya. -airtimes.my
#MALBATT85012 #Lubnan #Marakah #pertahanan #airtimes