Home GlobalUNIFIL bidas arahan pengosongan paksa Israel, tegaskan pengaman terus pikul Amanah

UNIFIL bidas arahan pengosongan paksa Israel, tegaskan pengaman terus pikul Amanah

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

BEIRUT, 5 MAC – Krisis di selatan Lubnan kini mencatatkan tahap ketegangan yang amat membimbangkan berikutan siri pencabulan resolusi antarabangsa yang semakin agresif.

Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) menyuarakan kebimbangan serius terhadap arahan terbaharu Pasukan Pertahanan Israel (IDF) yang menuntut pengosongan penduduk awam dari kawasan operasi UNIFIL ke utara Sungai Litani.

Tindakan ini dilihat sebagai satu bentuk provokasi keselamatan yang membelakangkan undang-undang antarabangsa dan memberi risiko tinggi kepada penduduk tempatan.

UNIFIL dalam satu kenyataan pada Rabu berkata, arahan pengosongan tersebut dikesan berlaku serentak dengan pergerakan tentera dan aktiviti ketenteraan IDF di dalam kawasan operasi mereka.

Pengaman PBB telah merekodkan pencerobohan unit infantri tentera Israel di beberapa lokasi strategik termasuk berhampiran El Khiam, Beit Lif, Yaroun, Houla, Kfar Kila, Kherbeh dan Kfar Shouba.

Keadaan ini diburukkan lagi apabila kemaraan tentera darat IDF disokong secara terus oleh serangan udara Israel yang dilancarkan tanpa henti.

UNIFIL menegaskan bahawa semua tindakan agresif berkenaan merupakan satu pencabulan terang-terangan terhadap ketetapan antarabangsa yang memelihara keamanan wilayah itu.

“Keadaan ini bukan sahaja melanggar Resolusi 1701, malah menjejaskan kedaulatan serta integriti wilayah Lubnan secara mutlak,” kata kenyataan rasmi misi pengaman berkenaan.

UNIFIL turut merekodkan siri serangan roket dan peluru berpandu dari arah wilayah Lubnan memasuki ke dalam wilayah Israel. Tindakan serangan tersebut juga diklasifikasikan sebagai pelanggaran ketara terhadap Resolusi 1701 yang secara jelas menuntut pemberhentian semua bentuk permusuhan bersenjata.

Perkembangan terbaharu ini menyusul sejurus selepas satu lagi insiden pencerobohan sempadan yang serius dilaporkan berlaku pada Selasa (3 Mac).

Pada pagi tarikh tersebut, anggota pengaman UNIFIL menyaksikan sendiri tindakan askar IDF menyeberangi sempadan masuk ke kawasan darat Lubnan berhampiran Markaba, Al Adeisse, Kfar Kela dan Ramyah sebelum mereka berundur semula ke kawasan selatan Garis Biru.

Pasukan pengaman mendedahkan bahawa tentera Israel kini mengekalkan lima posisi operasi ketenteraan serta mewujudkan dua zon penampan di dalam kawasan Lubnan yang melanggar ketetapan antarabangsa.

Dalam tempoh dua hari yang lalu, keadaan keselamatan pertahanan di sempadan tersebut telah merosot dengan begitu drastik. UNIFIL merekodkan pelancaran berpuluh-puluh roket dan peluru berpandu ke arah Israel.

Hezbollah sebelum ini mengisytiharkan peperangan terhadap Israel berikutan serangan terhadap Iran dan juga pembunuhan pemimpin tinggi Ali Khomenei.

Walaupun berhadapan dengan medan operasi yang berisiko tinggi, pihak UNIFIL kekal dengan pendirian mereka untuk tidak berundur.

Pasukan pengaman antarabangsa itu terus berada di lapangan operasi di selatan Lubnan dan berkawal di sepanjang Garis Biru bagi menjayakan mandat pertahanan mereka.

Memandangkan cabaran operasi yang semakin mendesak, UNIFIL telah menyelaras operasi mereka bagi menyokong Resolusi 1701 termasuk memudah cara sokongan bantuan kemanusiaan serta melindungi keselamatan penduduk awam setakat yang termampu.

Pasukan misi pengaman ini kini giat berhubung rapat dengan kerajaan Lubnan dan Israel, berserta menggunakan mekanisme berkaitan, bagi meredakan ketegangan.

Walaupun berdepan keadaan yang amat mencabar, anggota pengaman terus melaksanakan tugas yang dimandatkan dan akan terus melaporkan perkembangan semasa kepada Majlis Keselamatan.

UNIFIL menegaskan pihaknya kekal teguh dalam misinya untuk menyokong kestabilan dan perluasan kuasa Negara Lubnan di samping mengambil segala langkah perlu bagi memastikan keselamatan anggota pengamannya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply