NEW YORK,1 APR – Kerajaan Israel menafikan sebarang penglibatan tentera mereka dalam siri serangan yang meragut nyawa anggota Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL). Tel Avivsebaliknya mendakwa insiden maut tersebut didalangi sepenuhnya oleh kumpulan Hizbullah.
Wakil Tetap Israel ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Danny Danon menyatakan dakwaan tersebut di Majlis Keselamatan pada Selasa turut menegaskan bahawa serangan artileri ke atas pangkalan UNIFIL di Ett Taibe pada 29 Mac yang mengorbankan seorang pengaman Indonesia telah dilancarkan oleh kumpulan bersenjata tersebut.
Beliau menjelaskan bahawa Pasukan Pertahanan Israel (IDF) sama sekali tidak melepaskan sebarang tembakan di kawasan berhampiran dengan kedudukan pangkalan pengaman antarabangsa itu.
“Kami juga dapat mengesahkan hari ini bahawa pasukan UNIFIL telah diserang oleh peranti letupan Hizbullah dalam satu insiden berhampiran Bani Hayyan pada 30 Mac. Semua ini bukanlah satu kemalangan, sebaliknya ia adalah strategi yang disengajakan,” tegas beliau.
Menurut Danon, Hizbullah mengeksploitasi kehadiran pasukan pengaman PBB dengan beroperasi secara sengaja berhampiran kawasan pangkalan bagi meletakkan mereka dalam barisan tembakan. Kumpulan itu didakwa menempatkan senjata, pusat operasi, dan tapak pelancaran roket di kawasan awam serta bersebelahan kedudukan UNIFIL bagi tujuan perlindungan.
Beliau turut mendakwa sekurang-kurangnya 4 pelancaran roket ke arah Israel telah dilakukan oleh Hizbullah dari kawasan Hanniyah, yang terletak tepat bersebelahan dengan kedudukan posisi UNIFIL 510 pada awal Mac lalu.
Danon menyatakan pihak Israel telah menghantar surat amaran rasmi kepada UNIFIL pada 22 Mac lepas. Melalui surat tersebut, Tel Aviv secara jelas memberi amaran bahawa kawasan pertempuran adalah sangat berbahaya berikutan taktik eksploitasi Hizbullah.
Pihak Israel mendakwa mereka telah meminta kakitangan UNIFIL untuk membuat penempatan sementara di luar kawasan pertempuran bagi tujuan perlindungan dan mengurangkan risiko korban jiwa.
Pada masa yang sama, Danon memberi amaran bahawa selagi ancaman berterusan dan resolusi gagal dikuatkuasakan, IDF akan mengambil segala langkah ketenteraan yang munasabah. – airtimes.my
