BEIRUT, 13 OKT – Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) mengecam dua insiden serangan dron oleh tentera Israel (IDF) terhadap pasukan pengaman yang berlaku dalam tempoh dua minggu di selatan Lubnan.
Dalam kenyataan terbaharu semalam, UNIFIL memaklumkan sebuah dron Israel telah menjatuhkan bom tangan berhampiran kedudukan pasukan pengaman di Kafer Kela, menyebabkan seorang anggota pengaman cedera ringan dan menerima rawatan perubatan.
Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku sebelum tengah hari Sabtu selepas dua buah dron dikesan terbang berhampiran kawasan penempatan anggota pengaman.
UNIFIL menegaskan serangan itu merupakan pelanggaran serius terhadap Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta mencerminkan pengabaian terhadap keselamatan anggota pasukan pengaman yang melaksanakan mandat antarabangsa.
“Kami sekali lagi menyeru agar IDF menghentikan serangan terhadap atau berhampiran pasukan pengaman yang sedang berusaha memulihkan kestabilan seperti yang telah dipersetujui oleh Israel dan Lubnan,” jelas kenyataan itu.
UNIFIL turut mengingatkan bahawa insiden di Kafer Kela bukanlah yang pertama bulan ini. Pada 3 Oktober lalu, pasukan pengaman yang bekerjasama dengan tentera Lubnan turut menjadi sasaran serangan dron IDF di kawasan Maroun ar-Ras ketika mereka memberikan perlindungan kepada pekerja awam yang sedang membersihkan runtuhan rumah akibat perang.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, dua kumpulan pasukan pengaman mendengar letupan berhampiran jentera penggali sebelum melihat dron melepaskan bom tangan hanya beberapa puluh meter dari kedudukan mereka.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian pada awal Oktober, namun UNIFIL menegaskan bahawa tindakan itu sekali lagi menunjukkan pengabaian terhadap keselamatan pasukan pengaman, tentera Lubnan serta penduduk awam yang berusaha memulihkan kawasan terjejas di selatan Lubnan. – airtimes.my
