KUALA LUMPUR, 13 OKT – Israel menjangka pembebasan awal tebusan di Gaza akan akan dibebaskan bermula pada awal Isnin. Pembebasan tersebut merupakan antara perkara yang terkandung di bawah pelaksanaan perjanjian gencatan senjata antara Tel Aviv dan Hamas.
Jurucakap Pejabat Perdana Menteri Israel, Shosh Bedrosian berkata, pihaknya bersedia menerima tebusan sekiranya pembebasan dilakukan lebih awal daripada jadual.
“Israel bersedia menerima tebusan sekiranya mereka dibebaskan lebih awal,” katanya dalam laporan media antarabangsa pasa Ahad, sambil menambah bahawa tahanan Palestin akan dibebaskan sebaik sahaja semua tebusan dari Gaza selamat dikembalikan.
Menurut perincian perjanjian tersebut, seramai 2,000 tahanan Palestin termasuk 250 yang sedang menjalani hukuman penjara seumur hidup serta 1,700 lagi yang ditahan sejak Oktober 2023 akan dibebaskan sebagai pertukaran kepada 48 tebusan Israel, termasuk 20 yang masih hidup.
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebelum ini mengumumkan bahawa Israel dan Hamas telah bersetuju dengan fasa pertama pelan 20 perkara yang diumumkan beliau pada 29 September untuk menamatkan pertempuran di Gaza.
Pelan berkenaan melibatkan gencatan senjata menyeluruh, pembebasan semua tebusan Israel sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin serta penarikan berperingkat pasukan tentera Israel dari seluruh Gaza.
Fasa pertama perjanjian itu mula berkuat kuasa pada Jumaat, manakala fasa kedua dijangka melibatkan penubuhan mekanisme pentadbiran baharu di Gaza tanpa penglibatan Hamas, penempatan pasukan pelbagai negara dan perlucutan senjata kumpulan tersebut. – airtimes.my
