ISLAMABAD, 13 OKT – Ketegangan di sempadan Pakistan–Afghanistan meningkat kepada pertempuran berskala besar yang mengorbankan puluhan anggota keselamatan dari kedua-dua negara. Pertempuran antara dua negara itu terhenti apabila gencatan senjata sementara dicapai hasil pengantaraan Qatar dan Arab Saudi.
Menurut laporan media antarabangsa, pertempuran tercetus lewat malam Sabtu di beberapa kawasan sempadan termasuk Angoor Adda, Bajaur, Kurram, Dir, Chitral serta Bahram Chah di wilayah Balochistan. Kedua-dua pihak saling menuduh antara satu sama lain melakukan serangan tidak berasas.
Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mendakwa 58 anggota tentera Pakistan terbunuh, 30 cedera dan 25 pos sempadan berjaya ditawan dalam apa yang digelar sebagai serangan balas terhadap pengeboman di Kabul dan Paktika pada Khamis lalu.
Bagaimanapun, pihak tentera Pakistan menafikan dakwaan itu dan menyatakan 23 anggotanya terbunuh manakala 200 anggota Taliban serta kumpulan bersenjata proksi terbunuh dalam tindakan balas yang “tepat dan terkawal”. Tentera Pakistan turut mendakwa berjaya memusnahkan 19 pos sempadan dan beberapa pusat operasi Taliban di sepanjang Garisan Durand.
Kementerian Luar Negeri Pakistan dalam kenyataan pada Ahad menuduh serangan itu dilakukan oleh Taliban Afghanistan bersama kumpulan Fitna-e-Khawarij dan Fitna-e-Hindustan bagi menggugat kestabilan sempadan kedua-dua negara.
“Pakistan telah bertindak mempertahankan diri dengan mengenakan tindak balas tepat terhadap serangan yang tidak berasas itu, sambil mengelak kerosakan sampingan kepada orang awam,” jelas kenyataan itu.
Islamabad turut menegaskan bahawa tindakan keganasan yang berpunca daripada wilayah Afghanistan menjejaskan keselamatan serantau serta menyeru Taliban supaya menunaikan komitmen untuk tidak membenarkan wilayahnya digunakan bagi kegiatan keganasan.
Sementara itu, kerajaan Qatar dan Arab Saudi mengesahkan mereka telah memulakan usaha diplomatik bagi menenangkan keadaan dan mendesak kedua-dua pihak menahan diri serta mengutamakan dialog.
Jurucakap Taliban mengesahkan bahawa atas permintaan Doha dan Riyadh, operasi ketenteraan dihentikan sementara namun memberi amaran bahawa membalas sebarang serangan lanjut oleh Pakistan.
Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari pula menegaskan negaranya akan terus mempertahankan kedaulatan wilayah dan keselamatan rakyatnya, manakala Menteri Dalam Negeri, Mohsin Naqvi menyifatkan serangan itu sebagai pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Pertempuran terbaru ini merupakan yang paling serius sejak beberapa tahun kebelakangan, dan berlaku ketika hubungan antara kedua-dua negara Islam itu semakin tegang susulan tuduhan Pakistan bahawa kerajaan Taliban memberi perlindungan kepada kumpulan militan Tehrik-e Taliban Pakistan (TTP). – airtimes.my
