Home Pertahanan dan Keselamatan Aset Maritim Malaysia, isu dadah dan judi atas talian antara tumpuan Parlimen hari ini

Aset Maritim Malaysia, isu dadah dan judi atas talian antara tumpuan Parlimen hari ini

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 13 OKT – Isu keselamatan dan penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk aset baharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, isu dadah, dan jenayah maritim antara perkara yang akan diberikan fokus di Dewan Rakyat pada hari ini.

Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin memulakan sesi soal jawab lisan dengan meminta Menteri Dalam Negeri menjelaskan langkah konkrit bagi mengekang penyalahgunaan dan pengedaran dadah yang dikaitkan dengan peningkatan jenayah seperti rompakan serta ugutan.

Sesi turut menyentuh aspek keselamatan maritim apabila Ahli Parlimen Kuala Krau, Haji Kamal Ashaari meminta penjelasan tentang penggunaan optimum aset baharu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam tempoh 12 bulan akan datang bagi membanteras jenayah di perairan negara.

Beberapa soalan kepada KDN dijangka dijawab secara penyataan jawapan lisan termasuk isu pelarian berdaftar di bawah Suruhanjaya Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), gejala rasuah dalam kalangan anggota penguat kuasa sempadan serta kebebasan berhimpun dan bersuara.

Antara lain, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Dato’ Sri Dr. Wee Jeck Seng meminta penjelasan berhubung mekanisme jangka panjang dalam mengimbangi aspek kemanusiaan dan keselamatan berkaitan peningkatan jumlah pelarian UNHCR di negara ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segamat, Tuan Yuneswaran Ramaraj turut menyoal langkah membanteras rasuah di lapangan terbang dan pintu masuk utama negara, manakala Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin menekankan keperluan menyeimbangkan hak berhimpun dengan keselamatan awam.

Turut disenaraikan ialah soalan daripada Ahli Parlimen Pandan, Dato’ Seri Mohd Rafizi Ramli mengenai status rayuan kewarganegaraan, serta Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng yang mempersoalkan kemajuan siasatan terhadap Presiden UMANY, Tang Yi Ze dan Ketua Pemuda UMNO berhubung kenyataan masing-masing.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Haji Yusuf Abd. Wahab meminta penjelasan mengenai langkah keselamatan melindungi kemudahan Gas Asli Cecair (LNG) di Bintulu berikutan ancaman keselamatan yang dilaporkan awal September lalu.

Pada sesi petang, isu judi atas talian yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Mas Gading, Tuan Mordi Anak Bimol turut menjadi fokus dalam Kamar Khas Parlimen dengan kehadiran Menteri Dalam Negeri bagi memberi penjelasan lanjut mengenai tindakan kerajaan membanteras kegiatan haram tersebut. – airtimes.my

KATA KUNCI : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)Maritim MalaysiaMenteri Dalam NegeriParlimen Malaysia

Leave a Reply